COVID: KKM jangka kes Kategori 1, 2 meningkat selepas Aidilfitri

Bernama
Mei 2, 2022 13:52 MYT
Dr Noor Hisham bergambar dengan petugas kesihatan Jabatan Kecemasan dan Trauma semasa program menyantuni petugas kesihatan sempena Hari Raya Aidilfitri di Hospital Putrajaya hari ini. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan kes positif COVID-19 selepas sambutan Aidilfitri meningkat tetapi kebanyakan adalah Kategori 1 dan 2 iaitu tiada gejala dan gejala ringan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, KKM telah memperhatikan trend kes COVID-19 untuk tempoh dua bulan lepas dan mendapati 99.5 peratus kes adalah Kategori 1 dan 2.
Malah, kemasukan kes positif ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU) serta penggunaan bantuan alat pernafasan semakin berkurangan dengan kes kematian juga berkurangan.
Katanya, lebihan kematian pada 2020 dan enam bulan pertama 2021 adalah rendah dibandingkan sebelum pandemik dan mendapati lonjakan lebihan kematian pada Julai dan Ogos tahun lepas.
"Namun lebihan kematian berjaya diturunkan pada Ogos dan bulan seterusnya dengan liputan vaksinasi yang tinggi dengan populasi dewasa melebihi 99 peratus, remaja pada 92 peratus dan dos penggalak menghampiri 70 peratus.
"Ini memberi keyakinan untuk membuka semua sektor dan kembali kepada seolah-olah prapandemik tetapi ia belum berakhir.
"KKM masih menggunakan empat kaedah menangani COVID-19 iaitu dengan liputan vaksinasi, ubat antiviral, kesihatan awam yang masih mengekalkan pemakaian pelitup muka di tempat sempit dan pemakaian pelitup muka di tempat terbuka tetapi sesak masih digalakkan serta melaksanakan ujian kendiri jika bergejala," katanya kepada media selepas menyantuni petugas kesihatan di Hospital Putrajaya yang bertugas pada 1 Syawal, di sini hari ini.
Noor Hisham berkata sebanyak 1,503 kes positif dicatatkan semalam dan ini adalah satu perkembangan baik berikutan liputan vaksinasi memberi imuniti kelompok kepada masyarakat.
"KKM berharap trend ini kekal supaya dapat mengharungi COVID-19 dengan baik dan hidup bersama virus dalam peralihan ke endemik. Kalau kita bekerjasama dan bertanggungjawab dengan menjalankan kawalan kendiri akan dapat membendung penularan.
"Setakat ini selepas pembukaan semula sempadan negara pada 1 April, KKM jangka kes meningkat tetapi kes makin menurun. Ini menunjukkan ketahanan imuniti kelompok iaitu vaksin dan mereka yang dijangkiti telah pulih mempunyai ketahanan imuniti semula jadi. Ini akan membantu KKM mengawal dan membendung penularan jangkitan COVID-19 dalam negara," katanya.
Noor Hisham berkata cuti petugas kesihatan tidak dibekukan tahun ini untuk menyambut Hari Raya tidak seperti 2020 setelah situasi COVID-19 dalam negara terkawal dan ia juga memberi peluang muhasabah diri sendiri, keluarga dan perkhidmatan kesihatan supaya dapat ditambah baik dalam melengkapkan kesiapsiagaan sekiranya berlaku lonjakan kes COVID-19.
-- BERNAMA
#COVID-19 #Noor Hisham Abdullah #Kategori 1 dan 2 #imuniti kelompok
;