COVID-19: YDP Agong titah masjid adakan bacaan Doa Qunut Nazilah
Astro Awani
Mac 13, 2020 17:18 MYT
Mac 13, 2020 17:18 MYT
KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah menyeru semua masjid di negara ini agar memendekkan khutbah solat Jumaat dan menyediakan forehead thermometer, hand sanitizer serta penutup mulut dan hidung sebagai langkah mencegahan kemungkinan jangkitan COVID-19 berlaku.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dato' Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam satu kenyataan hari ini berkata Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat berwuduk dari rumah sebelum ke masjid dan rakyat yang mengalami gejala COVID-19, dinasihatkan agar tidak menghadiri solat Jumaat sepertimana saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Dato’ Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah turut menitahkan agar semua masjid di negara ini mengadakan bacaan Doa Qunut Nazilah semasa Solat Subuh dan Solat Jumaat bagi mendoakan kesejahteraan rakyat dari wabak COVID-19.
“Al-Sultan Abdullah amat prihatin dan mengikuti perkembangan terkini penularan COVID-19 dan menzahirkan kebimbangan Baginda terhadap keselamatan dan kesihatan rakyat berikutan kenaikan kes-kes terbaru jangkitan virus tersebut di negara ini,” katanya.
Tambahnya, sehingga 11 Mac 2020, jam 12 tengah hari, Kementerian Kesihatan Malaysia telah memaklumkan bahawa terdapat 20 kes baharu jangkitan COVID-19 telah dilaporkan. Dengan pertambahan kes-kes baharu ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 149 kes, termasuk satu kes terpencil di mana pesakit tiada kaitan dengan sejarah perjalanan ke negara-negara yang terjejas atau kontak dengan kes positif COVID-19.
Dato’ Ahmad Fadil berkata Seri Paduka Baginda turut menyeru peserta yang menghadiri Ijtimak Tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur pada 28 Februari hingga Mac 1 memberi kerjasama kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dengan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah untuk memastikan jangkitan COVID-19 tidak terus merebak dalam komuniti.
“Seri Paduka Baginda menggesa rakyat Malaysia agar menangguh perhimpunan yang melibatkan orang ramai (mass gathering) sepertimana saranan Kementerian Kesihatan Malaysia dan rakyat yang mengalami gejala COVID-19 agar tidak menghadiri program yang melibatkan orang ramai atau tempat yang padat.
“Rakyat turut digesa menghubungi Khidmat Nasihat Kesihatan Dalam Talian atau Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) melalui laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia untuk sebarang keraguan serta pertanyaan dan untuk mengelakkan penyebaran maklumat yang boleh mencetuskan panik di kalangan rakyat,” katanya lagi.
Dato’ Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda menasihati rakyat supaya mematuhi panduan kebersihan dan kesihatan diri serta langkah pencegahan yang dikeluarkan KKM bagi mengelakkan penularan COVID-19.
Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas tindakan segera, rawatan serta pemantauan berterusan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan agensi berkaitan dalam usaha memastikan langkah pencegahan serta kawalan sewajarnya dilaksanakan secara berkesan.
#Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
#coronavirus
#COVID-19
#keselamatan
#kesihatan
#KKM
#koronavirus
#Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
#tabligh