COVID-19: Wujudnya prinsip asas hubungan manusia dan alam sekitar
Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo
Mei 12, 2020 13:46 MYT
Mei 12, 2020 13:46 MYT
BANYAK yang melaporkan alam sekitar sudah kembali normal sejak pandemik COVID-19 'menyerang' bumi.
Katanya, langit sudah kembali biru dan sungai sudah semakin jernih.
Fenomena ini ialah suatu berita gembira kepada masyarakat dan pejuang alam sekitar.
Pada masa yang sama, jumlah yang disahkan positif COVID-19 sudah menghampiri tiga juta dan kematian akibat serangan makhluk halus ini hampir mencecah 200,000 orang.
Menarik apabila mendengar khabar dari seluruh pelusuk dunia, katanya di kebanyakan bandar besar pencemaran udara menurun sehingga 45 peratus.
Akibatnya landskap bandar kelihatan bersih dan cantik, penduduk di India buat pertama kali sejak 30 tahun lalu, dapat menikmati keindahan banjaran Himalaya.
Ini memang tidak menghairankan, apabila kebanyakan negara mengamalkan Perintah Berkurung atau Kawalan Pergerakan.
Banyak industri ditutup sementara, pencemaran udara daripada kenderaan dan kilang perusahan berkurangan.
Oleh itu, udara pastinya menjadi semakin bersih dan jarak penglihatan bertambah.
Ada juga yang melaporkan air sungai dan laut di pesisir pantai telah kembali bersih.
Sungai yang mengalir di kawasan bandar dan perindustrian pasti akan menjadi semakin bersih kerana kilang yang mencemar tidak beroperasi, pantai pelancongan kelihatan bersih kerana sudah tidak ada pengunjung, bererti sudah tidak banyak sisa domestik dibuang dan berakhir ke laut.
Begitupun, saya yakin masih banyak sungai yang sudah mati (tercemar teruk) dan tidak berupaya untuk kembali kepada keadaan normal.
Satu fenomena menarik bagi saya ialah haiwan liar keluar ke bandar.
Di India, Amerika, Afrika dan Eropah, banyak laporan mengenai rusa, singa, kambing gurun, antelop dan hidupan liar lain berkeliaran di kawasan kediaman.
Beberapa hari lepas, sekumpulan lotong cengkung (dusky leaf monkey) telah berkunjung ke jajaran rumah kami. Mereka melompat dari bumbung ke bumbung, seolah-oleh seperti dari pokok ke pokok di habitatnya.
Apakah ini juga mengambarkan alam sekitar sudah semakin pulih?
Sebetulnya, habitat hidupan liar sudah banyak termusnah dan dijadikan kawasan pembangunan.
Hidupan liar lari ke pedalaman dan ada yang tinggal di hutan pinggir bandar. Apabila sudah tidak kelihatan jutaan manusia bergerak di bandar akibat kawalan pergerakan, mereka mencuba nasib untuk kembali ke habitat asalnya.
Bumi adalah satu-satunya rumah untuk pelbagai penghuni - manusia, fauna dan flora. Seharusnya, makhluk Allah ini berkembang biak mengikut lumrah alam.
Oleh kerana manusia diberikan intelek dan keupayaan untuk membina teknologi, mereka mampu membangun permukaan bumi untuk keperluan kehidupannya.
Satu tabiat manusia yang tiada pada makhluk lain ialah, suka menakluki wilayah dan mengumpul harta.
Lambat laun, bumi menjadi tempat tinggal satu spesies sahaja iaitu manusia dan semua hidupan lain adalah sumber kehidupan manusia.
Dalam konteks pengurusan alam sekitar, manusia mencipta konsep tarik ulur (trade-off), iaitu untuk keperluan manusia, perlu ada yang dimusnah atau dipinggirkan.
Sepanjang pesisir pantai dan sungai yang dahulunya dihuni oleh hutan pamah, gelam dan bakau, kini telah ditukar menjadi kawasan penempatan, perbandaran dan perindustrian.
Sebahagian besar daripada spesies telah pupus, ada yang mampu berpindah ke pendalaman atau tinggal di pinggiran bandar.
COVID-19 sepatutnya mengajar kita beberapa prinsip asas hubungan manusia dan alam sekitar.
Bagi ilmuwan, demi kelestarian kehidupan, manusia perlu menghayati tiga prinsip asas dalam mengurus Alam Sekitar:
a) Semua hidupan lain mempunyai hak untuk tinggal di bumi ini;
b) Alam sekitar memberi perkhidmatan asas untuk kehidupan manusia; dan
c) Mencemar alam adalah aktiviti membunuh diri sendiri. Serangan COVID-19 yang berlarutan lebih tiga bulan ini sepatutnya mampu mengajar manusia mengenai kepentingan alam sekitar.
Manusia juga akan pupus jika tidak memberikan perhatian kepada kelestarian alam sekitar.
Dalam konteks bumi untuk semua, dasar pembangunan negara perlu memberikan tumpuan kepada menyediakan ruang atau habitat di daerah, negeri dan negara secukupnya bagi hidupan liar, kepelbagaian spesies watan dan landskap unik bernilai warisan.
Konsep Taman Negara, Taman Negeri, Monumen Tabii dan Landskap Berpandangan Indah perlu diwartakan untuk generasi akan datang.
Perkhidmatan alam sekitar atau ekosistem adalah keperluan asas kehidupan.
Manusia tidak boleh hidup tanpa udara dan air bersih. Kebersihan juga asas kesihatan manusia.
Dalam konteks ini, hutan bertindak sebagai penyedia dan penapis udara bersih, sementara lembangan sungai sebagai pembekal air bersih adalah keperluan asas yang perlu disediakan tanpa kompromi.
Keperluan hutan pemuliharaan, hutan tadahan air, hutan rekreasi dan hutan bandar adalah satu iltizam yang tidak boleh diambil ringan bagi memastikan kelestarian kehidupan.
Akhirnya mengenai kawalan pencemaran alam.
Saya sedar banyak yang telah diusahakan oleh kerajaan, termasuk mewujudkan Jabatan Alam Sekitar bagi mengurus isu ini.
Kita juga dimaklumkan, banyak tindakan kurang berkesan menyebabkan isu pencemaran udara dan air semakin kritikal.
Ini berpunca daripada dasar dan pemikiran mengenai alam sekitar yang bersifat sektoral.
Apabila dasar pembangunan negara memberikan perhatian kepada hasil balak dari hutan, penerokaan sumber bumi untuk industri dan komuniti, pertanian ladang kelapa sawit untuk komoditi dan pembangunan industri sepanjang sungai tanpa pertimbangan alam sekitar, tindakan kawalan pencemaran bersifat sektoral pasti tidak akan berjaya.
COVID-19 mengingatkan kita, tanpa dasar dan tindakan pengurusan alam sekitar bersepadu, kehadiran manusia di muka bumi ini adalah terhad.
* Prof Emeritus Dato’ Ibrahim Komoo adalah Felo Utama, LESTARI-UKM; dan Pengerusi Pasukan Bertindak, Kluster Tenaga, Air dan Alam Sekitar, Akademi Profesor Malaysia.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#alam sekitar
#Bumi
#COVID19
#kelestarian alam
#kelestarian kehidupan
#kesihatan
#Kolumnis AWANI
#koronavirus
#pelancongan
#Prof Emeritus Datuk Ibrahim Komoo