COVID-19: Waspada penularan semula, tidak perlu terburu-buru terima pengembara China

Bernama
Disember 30, 2022 19:19 MYT
Kerajaan tidak perlu terburu-buru untuk menerima kedatangan pengembara dari China terutamanya pelancong sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan COVID-19 secara besar-besaran. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak perlu terburu-buru untuk menerima kedatangan pengembara dari China terutamanya pelancong sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan COVID-19 secara besar-besaran.
Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat dan Ekonomi Kesihatan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata kerajaan perlu terlebih dahulu melihat kepada perkembangan semasa berkaitan jangkitan wabak itu bagi mengelakkan kemasukkan varian yang belum pernah ditemukan dan seterusnya memudaratkan negara.
"Kemungkinan untuk varian baharu masuk dalam negara adalah tinggi, tambahan lagi kita menghampiri musim perayaan (Tahun Baharu Cina) jadi susah untuk kita kawal pergerakan.
"Jadi, kerisauannya adalah jika mereka bawa kes-kes itu ke Malaysia bersama-sama dengan varian baharu yang kita tak kenal pasti lagi," katanya kepada Bernama.
China dilapor akan membuka semula sempadannya pada 8 Jan 2023 selepas hampir tiga tahun ditutup berikutan pandemik COVID-19, namun timbul kebimbangan apabila berlaku lonjakan ketara kes COVID-19 di negara itu baru-baru ini.
Penasihat Pertubuhan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar pula berpendapat belum timbul keperluan mengadakan sekatan kepada pelancong dari negara tembok besar itu, namun pihak Kementerian Kesihatan (KKM) bersama-sama syarikat penerbangan perlu mengadakan pengawasan yang ketat.
"Pertimbangkan langkah ketat kemasukan pengembara dari China dan jangan leka, bagi yang ingin masuk (ke Malaysia) perlu lengkap vaksinasi dan lakukan ujian COVID-19 seeloknya ujian PCR," katanya.
Dr Zainal turut menyarankan agar kerajaan meningkatkan kadar penerimaan dos penggalak bagi vaksinasi COVID-19 dalam kalangan rakyat Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga mengekang penularan wabak itu.
Menurutnya kadar liputan bagi dos penggalak pertama dan kedua yang masih rendah dalam negara mampu mendatangkan risiko, iaitu mengambil kira kemungkinan tahap imunisasi masyarakat yang semakin menurun.
Berdasarkan data laman web KKMNOW setakat 12 tengah hari tadi sejumlah 16,278,669 atau 49.8 peratus daripada populasi negara ini telah mengambil dos penggalak pertama, manakala cuma 629,215 atau 1.9 peratus dari populasi sama memilih mendapatkan dos penggalak kedua.
Dalam masa sama, Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Dr Sri Ganesh Micheil berkata negara tidak seharusnya melarang pergerakan mana-mana pengembara terutamanya pelancong dari luar negara.
Katanya kerajaan melalui agensi di bawah KKM serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya perlu mengambil tindakan bersiap siaga dalam memastikan industri perhotelan dan pelancongan selamat serta terjamin.
Jurucakap Malaysia Airlines ketika dihubungi menyatakan komitmen syarikat penerbangan itu untuk kekal patuh pada syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan penguat kuasa dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan penumpang terpelihara.
Sementara itu, pakar Kesihatan Awam Universiti Malaya Prof Dr Moy Foong Ming berkata orang ramai perlu mematuhi langkah pencegahan sedia ada seperti memakai pelitup muka terutamanya di kawasan yang sesak dan pengudaraan kurang baik, memastikan status vaksinasi sentiasa dikemas kini dan mengekalkan gaya hidup sihat supaya mempunyai imuniti tubuh yang baik.
"Orang ramai juga boleh mengamalkan TRIIS (ujian, lapor, asing, maklum, cari) jika ada simptom seperti selesema," katanya.
-- BERNAMA
#pengembara China #pelancong #COVID-19 #varian baharu
;