COVID-19: Warga emas pilih ambil vaksin untuk ubati kerinduan pada anak, cucu
Nur Fazlizai Ali
Jun 15, 2021 09:58 MYT
Jun 15, 2021 09:58 MYT
DUNGUN: Kerinduan terhadap anak dan cucu yang telah lama tidak ditemuinya membuat seorang warga emas berusia 86 tahun nekad mengambil suntikan vaksin COVID-19.
Zainun Salleh berkata dengan lengkapnya suntikan berkenaan akan memudahkan pergerakannya di kemudian hari.
Katanya lagi, suntikan itu mungkin akan menjadi satu keperluan untuk merentas negeri, sekali gus membolehkannya bertemu empat anak dan cucu yang menetap di Perak dan Selangor yang sudah setahun dia tidak berjumpa.
"Alhamdulillah, tak ada apa-apa, alhamdulillah, sihat. Kita mandi, sembahyang apa semua tak ada rasa pening.
"Jururawat pesan kalau pening kepala makan ubat tahan sakit. Dah tak pening kepala, tak payahlah makan," kata Zainun.
Dia yang menghidap penyakit darah tinggi mengakui pada mulanya agak takut untuk menerima suntikan itu apabila terdengar tentang 'keburukan' vaksin COVID-19 kepada warga emas yang menghidap penyakit.
Bagaimanapun perasaan takut itu berjaya dihakis, dan Zainun yang tinggal di Kampung Sura Hujung mula memberanikan diri untuk menerima suntikan pertama pada Mei lepas.
Zainun yang sudah lengkap menerima dos suntikan mengakui ia satu keperluan untuk mereka terus kekal sihat dan juga sebagai tanda sokongan kepada kerajaan dalam usaha melawan wabak COVID-19.
Sementara itu, cucunya Aqilah Haziqah Azhan meluahkan rasa lega selepas neneknya sudah lengkap mengambil vaksin tanpa menghadapi sebarang masalah kesihatan.
Aqilah turut berharap masyarakat lain mendapatkan informasi yang tepat dan tidak terpengaruh dengan dakyah negatif berkenaan pengambilan vaksin.
"Alhamdulillah, legalah dah habis dua dos," kata Aqilah Haziqah.
Zainun merupakan antara ratusan penerima suntikan vaksin di pusat pengambilan vaksin (PPV) Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun.
Bilangan penerima yang hadir untuk menerima suntikan semakin bertambah setelah masyarakat sudah mulai sedar akan kepentingan pengambilan vaksin dalam memerangi wabak COVID-19.
#COVID-19
#vaksin
#rindu
#warga emas
#cucu
#suntikan
#Zainun Salleh
#PPV
#pusat pengambilan vaksin
#Aqilah Haziqah Azhan