COVID-19: Warga emas juga berhak diberi vaksin
Madiha Abdullah
September 17, 2020 14:38 MYT
September 17, 2020 14:38 MYT
Risiko jangkitan COVID-19 dalam kalangan warga emas memerlukan penjagaan kesihatan mereka mendapat perhatian lebih teliti.
Biarpun respons terhadap vaksin mungkin lebih rendah berbanding mereka yang masih muda, namun tidak bermakna warga emas perlu dianaktirikan apabila vaksin COVID-19 tersedia kelak.
Ketua Misi dan Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Malaysia, Dr. Jacqueline Lo Ying-Ru berkata, pemberian vaksin merupakan salah satu kaedah pencegahan paling utama dan mereka yang paling berisiko perlu diberi perhatian.
"Dari segi tindak balas imun, memang terdapat sedikit penurunan apabila usia bertambah tetapi itu tidak bermakna mereka tidak perlu diberi vaksin. Sebagai contoh, vaksin influenza disarankan diberi kepada mereka yang berusia 65 tahun ke atas. Di sesetengah negara, mereka memberikan vaksin influenza universal.
"Saranan utama WHO dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ialah memfokuskan vaksin kepada mereka yang berusia 65 tahun ke atas dan kumpulan usia yang lain, sebagai keutamaan dalam imunisasi," kata Dr. Jacqueline.
Kadar jangkitan dan kematian yang tinggi dalam kalangan warga emas juga memerlukan semua pihak termasuk kerajaan untuk memikirkan semula dasar-dasar berkaitan penjagaan kesihatan bagi golongan ini.
Bukan itu sahaja, mereka yang bekerja dalam sektor kesihatan dan penjagaan warga emas juga perlu dititikberatkan kerana golongan ini dilihat bukan sahaja cenderung mendapat jangkitan, tetapi juga tekanan.
"Banyak cabaran yang dihadapi pengusaha dan petugas dalam sektor ini, dari segi operasi perniagaan, masalah dengan staf, moral staf yang menurun, keluarga yang mahu melawat penghuni.
"Mereka juga berdepan situasi mencabar dari segi kewangan kerana mereka tidak boleh menerima penghuni baharu, sekaligus mewujudkan situasi sangat menekan dan mereka perlu bantuan untuk menanganinya," kata Dr Rahimah Ibrahim, Timbalan Pengarah My Ageing Universiti Putra Malaysia (UPM).
Kerajaan, kata Dr.Rahimah, mempunyai beberapa polisi bantuan namun ia masih perlu ditambah baik kerana jumlah warga emas akan semakin bertambah.
Mereka ditemui pada majlis pelancaran seminar dan bancian bertajuk COVID-19 Behavioral Insights and Aged Care Perspectives di UPM, pada Khamis.
Ia diharapkan dapat meningkatkan pengesanan, pencegahan, tindak balas dan kawalan COVID-19 dalam kalangan warga emas yang tinggal di pusat jagaan dan dalam masyarakat secara amnya.
Antara panel yang terbabit ialah Prof.Dr.Tan Maw Pin dari Universiti Malaya, Delren Terrence Douglas, Presiden Pengendali Pusat Penjagaan Warga Emas Malaysia dan Dr. Taketo Tanaka, Pegawai Teknikal Pejabat Wakil WHO Malaysia, Brunei dan Singapura.
#COVID-19
#Kementerian Kesihatan
#koronavirus
#pandemik
#Pertubuhan Kesihatan Sedunia
#pusat jagaan warga emas
#vaksin
#warga emas
#WHO