COVID-19: Wanita berjalan lebih 4 jam pulang ke Singapura untuk uruskan suami

Astro Awani
Mac 30, 2020 15:06 MYT
Beberapa keping gambar wanita tersebut yang berhenti rehat di bahu jalan kerana kepenatan mula tular sejak Ahad. - Gambar Herman Sudil
Kecekalan hati seorang isteri yang sanggup berjalan kaki sejauh 2 kilometer ketika dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari Kastam Johor Bahru memasuki negara jiran, Singapura mendapat perhatian netizen.
Wanita tersebut mengambil keputusan pulang ke Singapura untuk menguruskan suaminya yang berusia 80 tahun dan kurang sihat selepas dua minggu berada di rumah anak lelakinya di Johor Bahru.
Wanita tersebut berjalan selama 4 jam bermula dari pukul 5 petang di Kastam Johor Bahru dan sampai di Boon Lay di Singapura kira-kira pukul 9.30 malam.
Anak lelaki wanita tersebut, Herman Sudil memberitahu ibunya datang ke Johor Bahru ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan untuk membantunya menguruskan anak-anak.
Herman berkata dia terpaksa meminta bantuan ibunya kerana terpaksa menguruskan isteri yang baru menjalani pembedahan di Hospital.
"Sebagai seorang anak bila saya melihat gambar ibu saya, saya rasa terharu kerana seorang ibu sanggup melakukan apa saja biarpun terpaksa mengorbankan masa rehatnya.
"Biarpun mereka penat sekalipun tetapi untuk untuk keluarga mereka sanggup berbuat apa sahaja.
"Saya yakin dengan viralnya gambar mak saya yang berjalan di causeway itu, bukan hanya mak saya tetapi seluruh wanita sanggup berkorban demi keluarga.
"Nasihat saya kepada anak-anak lelaki, abang-abang dan suami, hargailah bidadari syurga bernama wanita," katanya kepada Astro AWANI.
Beberapa keping gambar wanita tersebut yang berhenti rehat di bahu jalan kerana kepenatan mula tular sejak Ahad.
Menurut Herman, gambar tersebut diambil oleh anak saudaranya yang menemani ibunya pulang ke Singapura pada petang Ahad.
Sejak kerajaan mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac lalu, rakyat Malaysia tidak dibenarkan memasuki republik tersebut melainkan warganegara Singapura yang mahu pulang ke negara tersebut.
#2 KM #4 Jam #anak #bantu #Boon Lay #coronavirus #COVID-19 #cucu #isteri #jalan kaki #Johor Bahru #koronavirus #Malaysia #nenek #Singapura #suami #urus #wanita
;