COVID-19: Virus dari Kluster Greenhill mudah berjangkit - Dr Sim Kui Hian
Astro Awani
Oktober 29, 2020 15:03 MYT
Oktober 29, 2020 15:03 MYT
KUCHING: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian memaklumkan kadar kebolehjangkitan bagi kes COVID-19 dari Kluster Greenhill sangat tinggi.
Jelasnya, mereka yang dijangkiti dalam kluster berkenaan setakat ini telah menunjukkan simptom pada hari ketiga dan kelima dan ini berbeza daripada kes-kes yang direkodkan sebelum ini.
Dr Sim yang juga pakar kardiologi turut memaklumkan keputusan ujian makmal mengesahkan jumlah virus yang dikesan dari kes kluster ini juga tinggi.
“Sekiranya jumlah virus yang direkodkan adalah tinggi, maka ia mudah berjangkit.
“Ramai dalam kalangan mereka yang terlibat dari kluster ini (Kluster Greenhill) telah menjalani ujian saringan di hospital dan klinik swasta jadi sekiranya anda disahkan negatif pada ujain pertama, itu tidak bermakna anda tidak berpotensi dijangkit kerana tempoh inkubasi virus ini adalah 14 hari,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa melakukan lawatan ke Kampung Haji Baki di sini.
Kampung berkenaan merupakan kawasan pertama di negeri itu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 28 Oktober 2020 sehingga 11 November 2020.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Dalam pada itu Dr Sim turut menyentuh mengenai polisi yang diamalkan Kerajaan Sarawak yang berbeza dengan Kerajaan Persekutuan.
Ini kerana menerusi JPBN Sarawak, kerajaan negeri menetapkan syarat untuk melakukan ujian saringan kedua pada hari ke-10 bagi mereka yang disahkan negatif pada ujian kali pertama.
Untuk rekod setakat Rabu21 kes positif telah dikesan daripada kluster ini termasuk kes indeks iaitu kes 798.
#Kluster Greenhill mudah dijangkiti
#kadar kebolehjangkitan tinggi
#Kluster aktif di Kuching
#JPBN Sarawak
#sim kui hian
#Douglas Uggah Embas
#kes indeks 798