COVID-19: Vaksin Pfizer diluluskan NPRA - Khairy

Astro Awani
Januari 8, 2021 16:51 MYT
Jelas Khairy, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telaH memberi kelulusan bersyarat kepada penggunaan vaksin Pfizer di negara ini. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) telah meluluskan pendaftaran vaksin COVID-19 yang dihasilkan syarikat farmaseutikal, Pfizer.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin kepada Astro AWANI dalam rakaman rancangan temu bual, Consider This di sini, pada Jumaat.
Jelas Khairy, KKM telah memberi kelulusan bersyarat kepada penggunaan vaksin Pfizer di negara ini.
"Saya baharu sahaja terima makluman daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bahawa kita telah menerima pendaftaran bersyarat kepada vaksin COVID-19 daripada Pfizer.
"Ia masih lagi tertakluk kepada beberapa syarat yang kita perlu dapat daripada Pfizer dari segi maklumat.
"Tetapi maksudnya, dengan pendaftaran bersyarat ini, vaksin COVID-19 daripada Pfizer boleh digunakan di Malaysia," katanya lagi.
Cerita Sebalik Berita: Vaksin Pfizer diluluskan NPRA - Khairy
BACA SEMUA BERHUBUNG COVID-19 DI SINI
Mengulas lanjut, Khairy berkata kerajaan telah memaklumkan perkembangan itu kepada Pfizer bagi membolehkan Malaysia menerima vaksin COVID-19 daripada syarikat itu.
"Sekarang ini kita boleh memaklumkan kepada Pfizer kita bersedia menerima vaksin COVID-19 yang dijangka sampai di Malaysia pada bulan Februari.
"Saya masih lagi nak memuktamadkan bila dalam bulan Februari yang kita akan terima," ujarnya lagi.
Kata Khairy, penghantaran vaksin ke negara ini masih tertakluk kepada jadual penghantaran Pfizer.
Dalam masa yang sama, Khairy sekali lagi memberi jaminan bahawa penggunaan vaksin tersebut adalah selamat dan berkesan.
Khairy turut menzahirkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada pihak NPRA dan KKM kerana mempercepatkan kelulusan vaksin COVID-19 daripada Pfizer.
Malaysia dijangka menerima sejuta dos bekalan vaksin dari Pfizer suku pertama 2021, disusuli 1.7 juta dos pada suku tahun kedua, 5.8 juta dos pada suku tahun ketiga dan seterusnya 4.3 juta dos pada suku tahun keempat.

Tonton temu bual Khairy Jamaluddin, Consider This jam 10 malam ini. Khairy juga turut ditemu bual dalam rancangan "Cerita Sebalik Cerita" sejurus selepas beliau selesai rakaman Consider This di ibu pejabat Astro AWANI di ibu negara pada Jumaat.

#Khairy Jamaluddin #Vaksin Pfizer #COVID-19 #Bahagian Regulatori Farmasi Negara #Kementerian Kesihatan Malaysia #program temu bual Consider This #program Cerita #cerita
;