COVID-19: UUM jamin keselamatan, kebajikan pelajar yang tidak pulang ke kampung

Astro Awani
Mac 20, 2020 15:39 MYT
Dr. Hendrik Lamsali membuat tinjauan di sekitar Inapan Siswa, Universiti Utara Malaysia sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. - Gambar UUM
Walaupun dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac lalu, Universiti Utara Malaysia (UUM) tetap menjaga kebajikan pelajar yang tidak pulang ke kampung halaman masing-masing.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Hendrik Lamsali, seramai 5,661 pelajar termasuk pelajar antarabangsa yang tidak pulang memilih untuk terus berada di dalam kampus sejak pelaksanaan perintah itu.
Beliau berkata, kebajikan dan keselamatan kesemua pelajar berkenaan dijamin termasuk pemeriksaan kesihatan dan makanan sepanjang berada di dalam kampus.
“Saya berharap ibu bapa tidak panik atau bimbang dengan keselamatan anak-anak mereka berikutan penularan wabak COVID-19 yang melanda negara sekarang.
“Apa yang penting, apabila pelajar ini tidak pulang ke kampung halaman masing-masing, mereka terhindar daripada jangkitan wabak ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dr. Hendrik berkata, sepanjang berada di dalam UUM, kesemua pelajar berkenaan juga akan sentiasa dikawal rapi dan baik oleh pegawai Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) termasuk Jabatan Keselamatan Universiti yang mengawal pergerakan pintu masuk utama.
Katanya, pihak universiti juga sentiasa mengemaskini informasi terkini yang dikeluarkan Kerajaan agar semua warga kampus khususnya pelajar tidak terlepas dan sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan itu.
Menurut Dr Hendrik lagi, segala keperluan pelajar di dalam kampus juga mencukupi termasuk pembukaan kafeteria dengan mode ‘take away’ atau ‘delivery service’ serta kedai runcit.
“Pihak universiti juga membuat pemantauan pihaknya di sekitar kafeteria dan mendapati kesemua mereka mematuhi arahan dengan hanya membenarkan makanan dibungkus sahaja serta tiada pelajar dibenarkan berkumpul atau makan di situ.
“Universiti akan memastikan kesejahteraan kampus khasnya pelajar dijaga sebaiknya dengan komitmen pegawai keselamatan dan Pusat Kesihatan Universiti yang siap siaga bekerjasama dan sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik untuk pelajar,” katanya.
#COVID19 #Hapus COVID-19 #Jabatan Hal Ehwal Pelajar #kebajikan pelajar #kekal tenang #keselamatan pelajar #Majlis Perwakilan Pelajar #perintah kawalan pergerakan #universiti utara malaysia
;