COVID-19: Usaha landaikan nilai R-Naught perlu kerjasama semua pihak - Dr Noor Hisham
Nursyazwani Saiful Sham
Oktober 18, 2020 17:47 MYT
Oktober 18, 2020 17:47 MYT
KUALA LUMPUR: Negara mula mencatatkan semula nilai R atau R-Naught (Ro) yang tinggi pada 7 September lalu dengan 1.7 dan nilai yang tinggi ini memberi kesan besar terhadap nilai Ro negara.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ini adalah kerana peningkatan kes positif COVID-19 di negeri Kedah dan Sabah ketika itu.
Namun, dalam tempoh 4 minggu, angka berjaya diturunkan sehingga 1.3.
“Nilai R yang tinggi di kedua-dua negeri ini telah memberi kesan besar terhadap nilai R negara. Nilai R kemudiannya dilihat tidak stabil dan kekal melebihi 1.0.
“Gelombang ketiga wabak COVID-19 di Malaysia ini sememangnya lebih mencabar walaupun kita lebih bersedia dari segi kapasiti dan tindakan kesihatan awam yang dijalankan.
“Nilai Ro pada permulaan gelombang ketiga 20 September 2020 adalah 2.2, tetapi dalam tempoh empat minggu ianya telah menurun kepada 1.5,” katanya dalam sidang media khas penjelasan nilai Ro di Putrajaya pada Ahad.
Dr Noor Hisham pada masa sama sekali lagi mengakui gelombang ketiga penularan COVID-19 di negara ini lebih mencabar walaupun pihaknya lebih bersedia dari segi kapasiti dan tindakan kesihatan awam yang sudah dijalankan.
Malah, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan kes harian positif COVID-19 akan meningkat, namun bukan secara mendadak.
Ini kerana nilai Ro yang dicatatkan ketika ini adalah antara 1.3 hingga 1.5.
“Ini bermakna setakat ini usaha yang dijalankan telah dapat mengelakkan daripada peningkatan kes secara mendadak seperti dalam graf unjuran ini (garisan R = 2.2).
“Meskipun begitu, jika dilihat pada carta palang ini (iaitu jumlah kes positif COVID19 yang dilaporkan setiap hari), didapati ianya masih mengikuti garisan unjuran nilai R = 1.5.
“Oleh itu, boleh dijangkakan kes harian COVID-19 masih akan meningkat tetapi bukanlah secara mendadak,” ujarnya.
Justeru, dalam usaha untuk melandaikan nilai Ro ini kepada kurang daripada 1.0, tegas Dr Noor Hisham, ia memerlukan kerjasama semua pihak.
“Kerjasama semua pihak adalah amat diperlukan agar kita sekali lagi dapat melandaikan lengkung ini. Pendekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sebelum ini telah dapat melandaikan lengkung ini dengan cepat, namun ianya juga telah memberi impak yang besar kepada ekonomi negara.
“Bagi mengimbangi keadaan ini, pendekatan yang diambil kerajaan adalah dengan melaksanakan PKP Bersyarat tertumpu di beberapa buah negeri di mana masih ada pergerakan bagi sektor ekonomi namun tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” tegasnya.