COVID-19: Upacara ibadat Hari Krismas disiarkan dalam talian

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Disember 24, 2020 13:04 MYT
Menurut David Gasikol, perayaan Krismas bagi penganut agama Kristian tahun ini sangat berbeza dengan perayaan sebelum ini. - Astro AWANI
KENINGAU: Sambutan Hari Krismas tahun ini sememangnya berbeza dengan sambutan-sambutan sebelum ini, namun itu tidak membataskan aktiviti ibadat bagi penganut agama Kristian.
Menurut Paderi di Kathederal St Francis Xavier KSFX Keningau, David Gasikol, 35, sambutan perayaan itu tetap dianjur secara meriah tetapi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
"Pastinya perayaan Krismas bagi penganut agama Kristian tahun ini sangat berbeza dengan perayaan sebelum ini.
"Sebagai contohnya dari segi ibadat atau misa kudus, sebelum ini mampu membuka ruang yang luas dan memuatkan antara 4,000 hingga 5,000 orang.
"Tetapi kali ini disebabkan penjarakan sosial dan SOP, kedatangan bawah 12 tahun dan juga mereka yang sakit serta mereka yang berusia 70 tahun ke atas (tidak dibenarkan), jadi kita hanya mampu memberi ruang kepada 500 orang sahaja," katanya ketika ditemui dalam tinjauan persiapan sambutan Hari Krismas di Keningau pada Khamis.
Bagaimanapun, menurut David penganut agama Kristian di daerah itu masih boleh meraikan bersama-sama sambutan itu melalui siaran secara langsung di saluran youtube rasmi gereja KSFX.
Jelas David lagi, pandemik COVID-19 yang bermula sejak Mac itu hampir melumpuhkan aktiviti ibadat mereka.
Bagi memudahkan penganut agama itu beribadat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) yang lalu, selain penggunaan youtube gereja KSFX hadir dengan satu idea bernas dengan penubuhan radio atas talian yang dikenali sebagai KekitaanFM.
Kata David, radio dalam talian tersebut adalah yang pertama seumpamanya di negera ini bagi tujuan ibadat penganut agama Kristian.
"Sejak PKP yang bermula bulan Mac lalu secara tidak langsung seakan-akan gereja ini terhenti namun ahli jawatankuasa gereja masih mampu bergerak, jadi salah satu kreativiti yang kita lakukan adalah dengan mewujudkan radio dalam talian yang kita namakan sebagai KekitaanFM.
"KekitaanFM ini adalah yang pertama di Malaysia dan khususnya di Sabah," katanya.
Tambah David beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri atas keprihatinan memberikan dana bantuan berjumlah RM16 juta pada awal bulan ini.
Jelasnya, dana terbabit telah memberi manfaat kepada penganut agama itu termasuk golongan yang memerlukan.
"Pihak gereja mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak kerajaan kerana banyak memberi bantuan dan saluran dana kepada gereja selama ini bagi membantu pembangunan gereja dan pembangunan insan.
"Bantuan awam dan kerajaan kami zahirkan melalui program KSFX Prihatin dan kami telah menyampaikan bantuan kepada golongan di daerah Pensiangan," katanya.
#Keningau #kerajaan #operasi #COVID-19 #penjarakan sosial #pandemik #perintah kawalan pergerakan #PKPD #PKP #SOP #Krismas #Kristian #sambutan #perayaan
;