COVID-19: United Sikhs Malaysia, MAG, MASkargo hulur 50 alat bantuan pernafasan buat Indonesia
Eton Khir
Ogos 3, 2021 04:45 MYT
Ogos 3, 2021 04:45 MYT
SEPANG: Pasukan sukarelawan bukan kerajaan (NGO) United Sikhs Malaysia melancarkan misi menghulurkan 50 alat bantuan pernafasan kepada rakyat Indonesia di Kompleks Pengangkutan Kargo MAS, KLIA, Sepang pada Selasa.
Presiden United Sikhs Malaysia, Sunil Shukvir Singh berkata, misi kemanusiaan ini adalah hasil kerjasama Malaysia Aviation Group (MAG) dan MABkargo Sdn Bhd (MASkargo) bagi membantu rakyat di Indonesia memerangi COVID-19 yang semakin memburuk.
"Penghantaran pertama membabitkan 10 alat bantuan oksigen daripada keseluruhan misi iaitu 50 alat berkenaan ke Indonesia.
"Kami bersama rakan kami Yayasan Sosial Guru Nanak (penerima bantuan) di Indonesia yang pada dasarnya menubuhkan pusat jagaan COVID-19 di sana," katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di Kompleks Pengangkutan Kargo Mas, KLIA di sini, pada Selasa.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MASkargo, Ibrahim Mohamed Salleh berkata, pihaknya berbangga kerana dapat turut serta dalam membantu mereka yang memerlukan.
"Inisiatif seperti ini bukan hanya dari Malaysia, tetapi juga usaha global untuk memerangi COVID-19 dan membantu orang ramai yang menderita kerana wabak ini.
"Bagi pihak MAG dan MABkargo Sdn Bhd, kami berasa bangga diberi peluang untuk membantu dan kami akan sentiasa bersedia untuk membantu orang ramai memerangi COVID-19 ini," katanya.
Misi Kemanusiaan | 50 alat bantuan pernafasan dihulur buat Indonesia