COVID-19: UNIMAS hadkan kemasukan pelajar ke kampus

Astro Awani
Januari 7, 2021 14:15 MYT
Pelajar daripada tiga kategori itu yang berhasrat untuk kembali ke kampus perlu membuat permohonan secara dalam talian menerusi entry.ia.unimas.my.
SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) memutuskan hanya pelajar tahun akhir yang berkeperluan untuk berada secara fizikal di kampus sahaja dibenarkan memulakan pengajian di kampus tersebut seawal 1 Mac 2021.
Menurut kenyataan Jawatankuasa COVID-19 UNIMAS, selain pelajar tahun akhir, pelajar pascasiswazah mod penyelidikan sahaja dan penuntut berkeperluan berasal dari Sarawak juga antara yang dibenarkan memulakan pengajian mereka.
Katanya, pelajar daripada tiga kategori itu yang berhasrat untuk kembali ke kampus perlu membuat permohonan secara dalam talian menerusi entry.ia.unimas.my.
Sementara, para pelajar selain daripada kategori yang dibenarkan diminta meneruskan pengajian secara dalam talian.
"Pelajar dari Semenanjung, Sabah dan Labuan pula diwajibkan untuk menjalani proses kuarantin di Pusat Kuarantin serta menjalani ujian saringan COVID-19.
"Semua kos termasuk kos perjalanan, kuarantin dan ujian saringan COVID-19 perlu ditanggung sepenuhnya oleh pelajar," katanya dalam kenyataan.
Baru-baru ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menjangkakan penuntut universiti dijadual kembali ke kampus seawal-awalnya pada Mac depan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pihaknya akan mengemukakan permohonan mengenai perkara itu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) terdahulu untuk persetujuan mereka.
Tambah kenyataan itu lagi, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek terutama kemudahan dan ruang untuk penempatan pelajar berdasarkan SOP kuarantin.
Jelasnya, UNIMAS tidak berkompromi dalam usaha untuk memastikan keselamatan warga kampus daripada jangkitan wabak itu.
#Unimas #pelajar #pengajian di kampus #pengajian secara fizikal #Samarahan #Sarawak #COVID-19
;