COVID-19: UNIMAS beri bantuan kewangan kepada pelajar terkandas
Astro Awani
Oktober 4, 2020 12:45 MYT
Oktober 4, 2020 12:45 MYT
KUCHING: Semua pelajar baharu yang telah berada di kampus Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) akan terima bantuan kewangan dan pengecualian yuran penginapan untuk bulan Oktober.
Itu antara inisiatif universiti berkenaan bagi meringankan beban pelajar yang terkandas susulan peningkatan kes-COVID-19.
Jelas Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi, keputusan dibuat demi kebajikan pelajar terlibat terutamanya mereka yang menggunakan laluan udara.
"Pihak berkuasa Universiti telah memutuskan untuk memberi bantuan Prihatin sebanyak 100 ringgit, kepada semua pelajar baharu yang telah berada di kampus.
"Begitu juga dengan pelajar yang sudah di berada di kampus kita akan kecualikan yuran penginapan sepanjang bulan Oktober sehingga tempoh yang akan diberitahu kemudian bergantung kepada keadaan," jelasnya.
Selain itu pelajar yang telah tiba ke UNIMAS sama ada dari dalam atau luar sarawak juga dibenarkan untuk tinggal di kolej kediaman yang disediakan.
"Bagi pelajar yang telah berada di kampus dan juga Kuching kita membenarkan mereka memasuki kampus tanpa ada larangan," ujarnya.
Terdahulu dalam satu kenyataan pada Khamis, UNIMAS menangguhkan serta merta kemasukan semua pelajar prasiswazah dan pascasiswazah (baharu dan semasa) sesi akademik 2020/2021 sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Ini termasuk larangan semua pelajar dari Sabah dan Labuan daripada memasuki negeri itu mulai 4 sehingga 18 Oktober 2020.
Langkah berkenaan dibuat seiring keputusan yang ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
Buat sementara waktu, aktiviti pembelajaran dan pengajaran (PDP) UNIMAS akan dilaksanakan secara atas talian bermula 2 November lepas.