COVID-19: Umat Islam perlu terus muhasabah diri - Dr Zulkifli
Astro Awani
Mac 27, 2020 14:41 MYT
Mac 27, 2020 14:41 MYT
Rakyat terutama yang beragama Islam diseru agar muhasabah diri dan meningkatkan kesabaran ketika sedang diuji dengan penularan wabak COVID-19, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Dr Zulkifli menjelaskan tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini perlu dilihat dari sudut positif dan tidak menyalahkan pihak lain atas apa yang berlaku.
Katanya, jika seseorang itu yakin dengan apa yang berlaku ini ada hikmah yang tidak terjangkau oleh akal dan mengambil dari sudut positif, akan banyak kebaikan diperolehi.
"Dengan adanya Perintah Kawalan Pergerakan ini, kita perlu melihat sebelum ini berapa lama masa diluangkan untuk bersama keluarga? Sekarang banyak masa yang kita dengan keluarga.
"Kita boleh berehat dengan baik. Sekarang kita boleh solat berjemaah bersama keluarga setiap waktu. Sebelum ini mungkin hanya dibuat ketika Ramadan, tapi sekarang boleh beramal dengan banyak dalam tempoh 24 jam," katanya selepas mengimamkan solat hajat COVID-19.
Beliau juga menjelaskan, umat Islam perlu melihat penularan wabak COVID-19 ini dari sisi apa yang dfirmankan oleh Allah bahawa telah dijanjikan berita gembira kepada mereka yang bersabar.
Sehingga kini, wabak COVID-19 telah meragut 24 nyawa dengan kes kematian terbaru melibatkan seorang warga negara Malaysia berusia 35 tahun dan mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia pada awal Mac tahun ini.
Sehingga Khamis, 26 Mac 2020, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat 235 kes baharu yang telah dilaporkan.
Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 2,031 kes.
#COVID-19
#Dr Zulkefli Mohamad Al Bakri
#hikmah
#Islam
#keluarga
#Menteri di Jabatan Perdana Menteri
#muhasabah
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#solat