COVID-19: UM aktifkan mod e-Learning serta-merta
Fareez Azman
Mac 14, 2020 21:38 MYT
Mac 14, 2020 21:38 MYT
Susulan situasi terkini pandemik COVID-19 di negara ini, Universiti Malaya turut mengambil langkah berjaga-jaga dalam menangani penularan virus itu.
Terbaharu, kesemua staf akademik universiti itu diarah mengaktifkan mod pengajaran dan pembelajaran (PnP) menggunakan e-Learning dengan aplikasi dalam talian serta-merta.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaya, Professor Dr. Kamila Ghazali arahan itu dikeluarkan sebagai langkah proaktif memastikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat diteruskan secara teratur dan sistematik mengikut arahan pihak berkuasa.
"Dengan keputusan ini, semua staf akademik diharapkan agar dapat memastikan perkara ini dilaksanakan mengikut keperluan yang ditetapkan.
"Serta melaporkan sebarang isu teknikal berhubung penggunaan mod pengajaran dan pembelajaran eLearning ini kepada pihak Pusat Teknologi Maklumat (PTM)," katanya dalam satu notis yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi University Of Malaya pada malam Sabtu
Bagi proses pengajaran dan pembelajaran yang memerlukan perlaksanaan kerja klinikal pula, semua staf terlibat perlu mengambil langkah pencegahan sewajarnya.
Selain itu jelasnya, semua aktiviti jalinan masyarakat (JM) dan aktiviti luar kampus termasuk perjalanan ke luar negara wajib digantikan dengan kaedah penyampaian alternatif.
Sebelum ini, beberapa universiti antaranya Universiti Putra Malaysia (UPM) melaksanakan kelas maya terhadap penuntutnya.
#akademik
#Cegah
#coronavirus
#COVID-19
#eLearning
#koronavirus
#pelajar
#pengajaran dan pembelajaran
#staff
#UM
#universiti malaya