COVID-19: Ujian RTK untuk guru, murid kembali ke sekolah sedang dipertimbang

Israr Khalid
Ogos 4, 2021 06:28 MYT
Sekolah dijadualkan akan dibuka semula pada 1 September secara berperingkat. - Foto fail/Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Pelan Pemulihan Negara sedang mempertimbangkan idea untuk melaksanakan ujian saringan RTK kepada guru dan murid di sekolah, sebukanya sekolah nanti.
Jelas Menteri Penyelarasnya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, begitupun cadangan itu masih dalam fasa perbincangan dengan semua pemegang taruh agar pelaksanaannya nanti kemas dan selamat.
“Di sini kita melihat perkembangan Pelan Pemulihan negara daripada segi fasa mana yang mahu dibuka semula sekolah.
“Guru-guru dan pelajar mestilah sudah divaksinasi, dan kita juga berbincang bagaimana murid-murid akan kembali ke sekolah mungkin perlu menjalani ujian saringan RTK sekurang-kurangnya,” jelas beliau.
Ketika ini pihaknya turut berbincang dengan Kementerian Pendidikan untuk melihat teknikaliti pembukaan semula sekolah agar ia dapat dipastikan sistematik dan selamat untuk menerima semula sekolah dan guru.
Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, sekolah akan dibuka semula pada 1 September secara berperingkat melihat kepada keadaan di mana majoriti dan tenaga pengajar sudah divaksinasi.
Ia keputusan yang disepakati bersama dengan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara, namun begitu penilaian risiko akan terus diambil kira bagi melihat sekiranya ada keperluan untuk membuat perubahan terhadap tarikh tersebut.
Perincian lanjut mengenai pembukaan sekolah secara bersemuka akan dimaklumkan selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka dan sebarang perubahan akan dimaklumkan lebih awal.
Ujian RTK mungkin akan dilaksanakan bila sekolah kembali dibuka - Tengku Zafrul
#Agenda Awani #Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz #Majlis Pemulihan Negara #Pelan Pemulihan Negara #sekolah #COVID-19
;