COVID-19: UiTM giat kesan, pastikan individu dalam majlis #MusaadahKhasSiswa jalani ujian saringan
Nursyazwani Saiful Sham
Oktober 5, 2020 23:00 MYT
Oktober 5, 2020 23:00 MYT
KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi Mara (UiTM) sedang giat mengesan dan memastikan semua individu yang turut serta dalam sebuah majlis bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk segara melakukan ujian saringan COVID-19.
Ia selepas Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang disahkan positif COVID-19 pada Isnin menghadiri sebuah majlis bersama mahasiswa UiTM bagi menyampaikan bantuan melalui misi #MusaadahKhasSiswa pada Ahad.
Menurut Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim, langkah tersebut bagi memastikan semua individu yang terlibat dihindari daripada jangkitan COVID-19.
“Sebagai tindakan pencegahan dan kawalan, saya telah mengarahkan semua individu yang ada kontak rapat dalam majlis bersama Menteri semalam menjalani ujian swab secepat mungkin sebagai langkah berjaga-jaga dan mengelak sebarang kemungkinan.
“Saya peka dan ambil maklum kebimbangan warga universiti berhubung keadaan yang berlaku. Namun, saya ingin memberi jaminan kepada setiap warga dan pihak yang bersangkutan bahawa kita juga sudah mengambil semua langkah yang perlu untuk memastikan keadaan adalah terkawal," jelasnya.
Susulan itu, Dr Mohd Azraai bersama beberapa staf yang terlibat telah melakukan ujian saringan dan akan melalui proses kuarantin selama 14 hari bermula Isinin.
Pada masa sama, UiTM memaklumkan sudah mengambil langkah pelaksanaan sanitasi di kawasan yang berlangsungnya majlis tersebut dan meminta semua individu berkenaan melakukan ujian saringan.
#UiTM
#ujian saringan
#COVID-19
#Menteri di Jabatan Perdana Menteri
#Dr Mohd Azraai Kassim
#hal ehwal agama
#Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
#ujian swab
#Universiti Teknologi MARA
#MusaadahKhasSiswa