COVID-19: Ubah tingkah laku bukan bina banyak hospital - Dr Jemilah
Bernama
Januari 29, 2021 23:20 MYT
Januari 29, 2021 23:20 MYT
PUTRAJAYA: Membina lebih banyak hospital tidak akan dapat menyelesaikan masalah COVID-19 sekiranya orang ramai tidak mengubah tingkah laku mereka, kata Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam Tan Sri Dr Jemilah Mahmood.
Beliau berkata dalam menangani pandemik itu, langkah awal perlu bermula dengan orang ramai mengamalkan langkah-langkah pencegahan COVID-19 dan mempengaruhi mereka di sekeliling.
"Kita perlu mengubah tingkah laku kita. Kita perlu membantu, fikirkan petugas barisan hadapan yang berjuang, bekerja keras dan tertekan," katanya dalam sesi webinar bertajuk: Perniagaan Dalam Era COVID19: Menetapkan Semula Senario Perniagaan dengan COVID-19.
Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Dr Zaini Ujang bertindak sebagai moderator pada sesi berkenaan yang turut menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif PEMANDU Associates Sdn Bhd Datuk Seri Idris Jala.
Dr Jemilah juga menzahirkan kebimbangan negara-negara kurang maju mempunyai akses yang terhad kepada vaksin COVID-19 kerana negara-negara kaya membeli lebih daripada yang mereka perlukan.
"Di mana kita akan mendapatkan vaksin kita jika semuanya dimonopoli oleh Amerika Syarikat, United Kingdom, Kesatuan Eropah? Di manakah peluang bagi negara yang kurang maju mendapatkannya?
"Hampir seperti aparteid, yang anda tahu, hanya orang yang memiliki sijil vaksin boleh melakukan perjalanan dan berniaga ketika negara membangun tidak memiliki akses," kata beliau sambil menambah bahawa keadaan itu menuntut penyusunan semula nilai-nilai asas dan kemanusiaan.
Sementara itu, Jala berkata COVID-19 muncul sebagai cabaran besar bagi perniagaan dengan perangkaan menunjukkan bahawa kira-kira 34,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini telah ditutup hingga Oktober tahun lepas.
Beliau yang menggesa syarikat supaya mencipta semula diri dengan mempraktikkan ESSA (Eliminate, Simplify, Standardize and Automate - menghapuskan, memudahkan, menyeragamkan dan mengautomasikan), berkata: "Saya selalu memberitahu orang, dalam krisis seperti ini, jangan sia-siakan peluang, orang tahu perlu melakukan ESSA. Saya percaya menjadi suatu keperluan bagi setiap syarikat untuk melalui proses ESSA, sementara masih dalam proses sekatan pergerakan. "
Beliau mencadangkan agar kerajaan dan syarikat mengambil pendekatan secara usaha sama untuk beralih kepada digital dan memberi contoh tahun lepas sahaja, Amazon mencatat kenaikan 34 peratus dalam jualan global kepada US$330 bilion, manakala Alibaba mencapai jualan US$74 bilion dalam hanya sehari pada November.
"Ini adalah peluang besar bagi Malaysia untuk melonjak ke depan dalam digital, ia tidak boleh dilakukan oleh kerajaan, dengan bersendirian melakukan semua infrastruktur. Syarikat perlu bersama-sama dan mengambil kesempatan ini, daripada meratap tentang COVID-19," katanya.
-- BERNAMA
#Dr Jemilah Mahmood
#COVID-19
#ubah tingkah laku
#bina hospital
#Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam