COVID-19: Tutup atau buka sekolah sepatutnya bukan urusan KPM - Ahli akademik

Israr Khalid
September 8, 2021 07:11 MYT
Kementerian Kesihatan bersama Majlis Keselamatan Negara lebih sesuai untuk menentukan buka atau tutup sekolah berdasarkan keadaan semasa, menurut pensyarah UKM Dr Anuar Ahmad. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Urusan tutup atau buka sekolah sepatutnya bukan merupakan urusan Kementerian Pendidikan (KPM), tetapi menjadi tanggungjawab Kementerian Kesihatan (KKM).
Demikian pandangan dilontarkan pensyarah Pusat Kajian Kesejahteraan dan Pendidikan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad.
Menurutnya, sekolah patut menumpukan terhadap usaha terus menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP) seiring perkembangan situasi era pandemik.
Katanya, KKM bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang sewajarnya membuat pembacaan terhadap situasi memandangkan mereka lebih arif dalam menentukan sama ada perlu atau tidak sekolah dibuka.
“Kalau kita lihat sepanjang dua tahun lepas atau daripada April yang lalu, KPM terlalu fokus kepada pemikiran untuk pentadbiran urusan buka sekolah tutup sekolah.
“Tapi jarang kita lihat inovasi-inovasi dilakukan oleh KPM untuk melakukan anjakan kepada proses PdP dalam talian berkaitan kaedah-kaedahnya, sumber pembelajaran dan sebagainya,” katanya kepada Astro AWANI pada Rabu.
Anuar turut menyatakan kerisauan terhadap bentuk pemikiran yang dipamerkan kementerian itu yang akan mempengaruhi masyarakat dan akhirnya menganggap soal buka atau tutup sekolah itu adalah asasnya.
Sedangkan, katanya, pendidikan sepatutnya tidak terikat pada platformnya, tetapi perlu diberi perhatian terhadap ketersampaian gaya dan isi PdP itu kepada para pelajar.
Tegasnya, pada ketika ini, PdP di rumah (PdPR) perlu ditambah baik, menggunakan kreativiti untuk memberi penyampaian yang menarik, tidak rumit dan mudah dihadam dalam cara yang berbeza daripada di dalam bilik darjah.
“KPM patut lebih banyak memikirkan bagaimana untuk sekolah-sekolah atau guru-guru meningkatkan proses PdPR. Itu sepatutnya.
“Sebenarnya urusan buka atau tutup sekolah ini adalah urusan KKM di bawah MKN, ini bukan urusan KPM,” jelas beliau.
Anuar tampil dalam program Agenda AWANI dihoskan oleh Nazri Kahar pada Rabu. Tonton di sini:
Soal buka atau tutup sekolah sebenarnya bukan urusan KPM - Dr. Anuar
Agenda AWANI: Bimbang buka sekolah?
#Agenda Awani #Dr Anuar Ahmad #pendidikan #pengajaran dan pembelajaran #PdPR #Kementerian Pendidikan #Kementerian Kesihatan #Majlis Keselamatan Negara #sekolah
;