COVID-19 : Tujuh lagi sekolah di Pulau Pinang ditutup dua hari

Dewi Nur Harasha Alias
April 27, 2021 17:37 MYT
Kesemua tujuh sekolah yang ditutup itu melibatkan lima daerah di negeri Pulau Pinang. - Gambar hiasan
GEORGE TOWN: Tujuh buah lagi sekolah peringkat rendah dan menengah di Pulau Pinang diarahkan tutup selama dua hari susulan penularan kes COVID-19 dalam kalangan warga sekolah tersebut.
Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, kesemua tujuh sekolah yang ditutup itu melibatkan lima daerah di negeri itu.
Penutupan itu menjadikan jumlah terkini sekolah ditutup di negeri itu sebanyak 27 buah.
"Tujuh sekolah ditutup hari ini dan semua murid di sekolah terlibat, mengikuti pembelajaran menerusi kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga arahan selanjutnya dikeluarkan KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia),” katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi pada Selasa.
Bagaimanapun, Abdul Rashid enggan mendedahkan nama sekolah-sekolah yang terlibat dengan penutupan berkenaan.
Pada Isnin, sebanyak 20 buah sekolah di negeri itu ditutup selama dua hari selepas terdapat jangkitan kes COVID-19.
Arahan penutupan sekolah tersebut dikeluarkan KPM sebagai langkah mengawal penularan wabak COVID-19 dalam kalangan warga sekolah.
#tujuh sekolah ditutup #pulau pinang #COVID-19 #sekolah rendah #Sekolah Menengah #Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah #PdPR
;