COVID-19: Top Glove nafi tidak bersedia dari awal
Madiha Abdullah
Januari 27, 2021 18:25 MYT
Januari 27, 2021 18:25 MYT
KUALA LUMPUR: Syarikat pembuat sarung tangan terbesar dunia, Top Glove Corporation Berhad, sudah mengambil langkah yang sepatutnya sejak COVID-19 mula menular dalam negara.
Namun begitu, Pengarah Urusan Top Glove, Datuk Lee Kim Meow berkata, penularan gelombang ketiga benar-benar memberi kesan kerana ia berlaku pada skala lebih besar berbanding gelombang pertama dan kedua.
"Sejak mula COVID-19 melanda, kami hantar pekerja asing untuk menjalani saringan dan keputusannya negatif.
"Tetapi dalam saringan pada awal November, 10 pekerja dikesan positif. Ketika itu, wabak berkenaan memang sudah menular di kawasan Klang ini.
"Susulan itu, kami terus mengambil langkah yang sepatutnya seperti arahan Kementerian Kesihatan, iaitu melakukan saringan ke atas semua pekerja, mengkuarantinkan mereka dan membuka pusat kuarantin khas," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, hari ini.
COVID-19: Top Glove | Pengajaran daripada kluster Teratai
Kim Meow menambah, biarpun semua pekerja Top Glove sudah menjalani saringan dan operasi kilang diteruskan seperti biasa ketika ini, mereka masih mengambil langkah berjaga-jaga serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Kluster Teratai, yang dikaitkan dengan Top Glove, merupakan kluster terbesar negara, dengan kira-kira 7,000 individu dikesan positif.
"Ketika operasi kilang dihentikan sementara baru-baru ini, ia membabitkan kapasiti sebulan kerja atau kira-kira 2.5 bilion keping sarung tangan.
"Memang ada impak kewangan tetapi semuanya boleh diatasi, apatah lagi sekarang kilang sudah beroperasi seperti biasa," kata beliau lagi.