COVID-19: Tingkatkan akses pendidikan kepada pelajar miskin, orang Asli dan pelajar OKU - IDEAS

Firdaus Azil
April 16, 2020 16:02 MYT
Menteri Kanan Dr Mohd Radzi Md Jidin dilaporkan berkata, 36.9 peratus murid di seluruh negara tidak mempunyai sebarang peranti elektronik. - Gambar fail
Pelaksanaan sistem pendidikan sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tidak harus bersifat sementara, sebaliknya ia harus dijadikan polisi tetap menjelang pasca PKP, menurut laporan IDEAS bertajuk “Pendidikan ketika COVID-19”.
Pengurus Penyelidikan IDEAS Ya Shin Wan berkata, persiapan yang dibuat ketika ini, terutamanya dalam pengajaran dan pembelajaran dalam talian, harus mengambil kira beberapa aspek tertentu, termasuk kebajikan pelajar kurang berkemampuan, Orang Asli serta pelajar tidak berkeupayaan.
“Seperti yang diutarakan beberapa pihak, penjarakan sosial masih diperlukan walaupun PKP berakhir. Malah ada pakar berpendapat, ada kemungkinan besar gelombang wabak seterusnya akan melanda.
“Maka, amat penting polisi pendidikan yang sedang dalam perangkaan, memastikan proses pembelajaran dan pengajaran tidak akan mengalami banyak gangguan walaupun ketika waktu krisis,” katanya lagi.
Baru-baru ini, Menteri Kanan (Kluster Pendidikan dan Sosial) Dr Mohd Radzi Md Jidin dilaporkan berkata, sebanyak 36.9 peratus murid di seluruh negara tidak mempunyai sebarang peranti elektronik.
Selain itu, selain peranti, kelajuan internet juga merupakan antara isu utama yang dihadapi pelajar ketika proses PnP di rumah selepas PKP dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.
Dalam laporan itu, Shin Wan selanjutnya berkata, mengambil kira impak akibat penularan COVID-19 di seluruh dunia, sistem pendidikan baharu seharusnya melihat lebih dari sekadar peperiksaan untuk menilai tahap kefahaman pelajar.
“COVID-19 ini sudah menunjukkan pendigitalan dan globalisasi sudah diterapkan dalam masyarakat Malaysia. Namun apa yang membezakan pelajar dan mesin, adalah kebolehan mereka untuk berfikir secara kritikal, kreatif, serta mampu berhubung kait sesama pelajar.
“Pembelajaran tradisional, serta terlampau banyak peperiksaan masa kini tidak akan membantu menyiapkan pelajar kita untuk pekerjaan di masa hadapan,” katanya.
Shin Wan berkata, pendidikan bukan semata-mata untuk pekerjaan atau ekonomi, tetapi ia adalah usaha menyiapkan generasi baharu dengan adab secara holistik.
Krisis ini, katanya lagi, merupakan waktu yang terbaik untuk semua pihak melihat kembali, serta membuat perubahan drastik terhadap sistem pendidikan.
#COVID-19 #Dr Mohd Radzi Md Jidin #ekonomi #ideas #Internet #koronavirus #Malaysia #Menteri Kanan #OKU #Orang Asli #pelajar #pendidikan #Pendidikan dan Sosial
;