COVID-19: Tingkat liputan vaksin sebelum pertimbang dos penggalak - Dr Noor Hisham

Astro Awani
Ogos 25, 2021 06:16 MYT
Malaysia perlu meningkatkan liputan vaksin dalam negara terlebih dahulu sebelum mempertimbang pemberian dos penggalak atau booster shot vaksin COVID-19. -Gambar fail
MALAYSIA perlu meningkatkan liputan vaksin dalam negara terlebih dahulu sebelum mempertimbang pemberian dos penggalak atau booster shot vaksin COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini kerana pemberian dos ketiga kepada mereka yang telah lengkap divaksinasi tidak membantu mengawal penularan varian Delta.
"Pemberian dos penggalak (booster dose) kepada mereka yang telah lengkap divaksinkan tidak akan membantu mengawal penularan varian Delta.
"Tetapi yang dapat mengawal penularan varian Delta adalah untuk memberi vaksin kepada mereka yang belum divaksinkan.
"Tiada sesiapa yang selamat sehingga semua orang selamat," katanya dalam satu kenyataan di Facebook, pada Khamis.
Sumber Facebook DGHisham
Sebelum ini, Dr Noor Hisham dilaporkan berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menolak keperluan untuk memberi suntikan penggalak vaksin COVID-19 dalam memastikan keberkesanan pelalian itu.
Jelasnya, pemberian dos berkenaan bagaimanapun perlu dipertimbangkan secara menyeluruh terlebih dahulu.
Beberapa negara telah mula memberikan suntikan dos ketiga untuk meningkatkan perlindungan imunisasi terhadap koronavirus.
Ini selepas beberapa syarikat farmaseutikal Pfizer menyatakan perlindungan terhadap individu diberikan dua dos berkurangan selepas enam bulan.
Amerika Syarikat juga telah bersedia untuk memberikan dos ketiga kepada rakyatnya pada bulan September sekiranya Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) meluluskannya.
Bagaimanapun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengutuk tindakan terdesak negara kaya memberi dos penggalak vaksin COVID-19 ketika jutaan penduduk dunia masih belum menerima sebarang suntikan.
Pakar WHO menegaskan tiada data saintifik yang kukuh bagi membuktikan dos penggalak diperlukan ketika ini.
#booster shot #Noor Hisham Abdullah #Varian Delta #COVID-19
;