COVID-19: Tindakan efektif Malaysia perlu jadi contoh - Kedutaan Indonesia

Harits Asyraf Hasnan
Julai 8, 2020 19:53 MYT
Tidak menafikan ada menerima aduan berkenaan tindakan serta polisi yang dilakukan kerajaan Malaysia, namun Agung akui ia ditangani dengan sempurna hasil hubungan baik Kuala Lumpur-Jakarta. - Foto Fail / BERNAMA
Tindakan efektif kerajaan Malaysia dalam menangani penularan wabak COVID-19 harus menjadi contoh kepada semua.
Kaunselor Penerangan, Sosial Dan Hal Ehwal Budaya, Kedutaan Besar Indonesia (KBRI) Ke Malaysia, Agung Cahaya Sumirat berkata, kes positif yang kini satu angka menjadi cerminan kepada segala polisi yang dilaksanakan selama ini.
"Saya lihat kerajaan Malaysia sudah cukup efektif dalam mengatasi wabak COVID-19 ini sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.
"Impak daripada tindakan polisi PKP ini dan sekarang kita memasuki Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), sudah boleh dilihat bahawa jumlah jangkitan COVID-19 di Malaysia setiap hari - trendnya adalah menurun atau melandai.
"Ini merupakan bukti yang sangat kukuh dan saya lihat Malaysia boleh menjadi contoh yang baik dalam melakukan pelbagai polisi dalam usaha menangani wabak COVID-19," katanya ketika diwawancara Astro AWANI hari ini.
Tidak menafikan ada menerima aduan berkenaan tindakan serta polisi yang dilakukan kerajaan Malaysia, namun Agung akui ia ditangani dengan sempurna hasil hubungan baik Kuala Lumpur-Jakarta.
"Kami juga faham, ada sebahagian yang mengadu rasa tidak puas hati mereka. Namun, apa yang pasti adalah kesungguhan kami di KBRI dan saya yakin pemerintah Malaysia juga untuk mengatasi wabak ini menjadi keutamaan yang amat penting.
"Tindakan (PKP) ini memberi kesan kepada sebahagian pekerja Indonesia di Malaysia dan saya fikir perkara ini harus dilihat dan dipertimbangkan.
"Jika ada sebahagian pekerja Indonesia yang memerlukan bantuan, kami di KBRI akan bantu sedaya upaya yang mungkin," katanya.
Justeru, beliau berharap hubungan baik kedua-dua negara selama ini akan menjadi teras dalam usaha membantu rakyat Indonesia di Malaysia yang menerima impak langsung akibat COVID-19 ini.
#Astro Awani #Indonesia #kes positif #koronavirus #perintah kawalan pergerakan #Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan #PKP #PKPP
;