COVID-19: Timbalan Pengerusi Tetap UMNO kritikal di PPUM

Astro Awani
Mei 18, 2021 14:47 MYT
Rizuan yang juga Ketua UMNO Bahagian Kepong disahkan dijangkiti COVID-19 selepas menerima keputusan ujian saringan pada 1 Mei lalu. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Tetap UMNO, Datuk Seri Rizuan Abd Hamid yang disahkan positif COVID-19 dilaporkan kritikal dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), lapor Sinar Harian.
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan memaklumkan keadaan terkini timbalan pengerusi tetap UMNO itu adalah benar.
"Maklumat tentang Datuk Seri Rizuan Abd Hamid kena COVID-19 itu benar. Statusnya di ICU juga benar," katanya.
Ahmad bagaimanapun tidak mempunyai maklumat mengenai keadaan kesihatan isteri Rizuan, Tan Sri Madinah Mohamad yang menerima rawatan di ICU pusat perubatan yang sama.
Rizuan yang juga Ketua UMNO Bahagian Kepong disahkan dijangkiti COVID-19 selepas menerima keputusan ujian saringan pada 1 Mei lalu sebelum dikuarantin pada 3 Mei di PPUM dan dipindahkan ke ICU pada hari sama.
Astro AWANI sedang mengikuti perkembangan berhubung perkara ini.
#COVID-19 #UMNO #Timbalan Pengerusi Tetap #Rizuan Abd Hamid #Ahmad Maslan #Madinah Mohamad
;