COVID-19 : Tiga rakyat Malaysia antara kes baharu di Singapura

Bernama
April 20, 2020 03:07 MYT
Singapura kini telah mencatatkan jumlah kes tertinggi dalam kalangan negara anggota ASEAN. Gambar fail/ Bernama.
Tiga rakyat Malaysia antara 596 kes baharu jangkitan COVID-19 yang dilaporkan di Singapura dengan seorang dikaitkan dari asrama Kranji Lodge, satu daripada lebih 20 kluster asrama pekerja asing di sini.
Ia menjadikan jumlah rakyat Malaysia dikaitkan dengan kluster asrama kepada tujuh orang manakala secara keseluruhan 95 rakyat Malaysia dilaporkan dijangkiti virus itu di sini dengan kes pertama diumumkan pada 17 Februari.
Menurut data harian yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) republik ini pada lewat Ahad, lelaki berusia 55 tahun dan dua lagi itu adalah pemegang permit kerja.
Bagaimanapun, dua rakyat Malaysia terbabit masih diklasifikasi sebagai kes tidak dikaitkan dengan kluster asrama.
Setakat jam 12 tengah hari Ahad, jumlah kes COVID-19 di Singapura mencatatkan 6,588 dengan 4,706 kes diklasifikasi sebagai penghuni asrama, 305 melibatkan pemegang permit kerja yang tidak mendiami asrama, 1,008 kes komuniti dan 569 ialah kes diimport.
Dengan jumlah terbaharu itu, Singapura yang mencatatkan kes pertama COVID-19 pada 23 Januari telah mencatatkan jumlah kes tertinggi dalam kalangan negara anggota ASEAN, sedikit di atas Indonesia.
Sehingga kini, 768 pesakit di sini telah pulih sepenuhnya dan telah dibenarkan pulang dari hospital atau fasiliti pengasingan komuniti, 22 dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi manakala 11 orang meninggal dunia.
Pada Ahad sahaja, republik ini mengenal pasti lima kluster baharu iaitu Woodlands Lodge I; Changi Lodge II; 51, Paya Ubi Industrial Park; 17, Jalan Besut; dan Sembawang Shipyard.
Setakat ini, Singapura mewartakan 12 asrama yang dijangkiti sebagai kawasan pengasingan dengan kebanyakan asrama yang dijangkiti itu dihuni oleh warga Bangladesh, India, China dan Myanmar.
-- BERNAMA
#ASEAN #COVID-19 #Kementerian Kesihatan #koronavirus #Malaysia #meninggal dunia #pekerja asing #rakyat Malaysia #Singapura