COVID-19: Tiga kluster baharu, lima lagi ditamat

Fareez Azman
Mac 14, 2021 17:56 MYT
Menurut Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, jumlah kluster aktif ketika ini sebanyak 424 kluster. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan tiga kluster baharu dilaporkan sehingga jam 12.00 tengah hari tadi.
Menurut Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ia menjadikan kluster aktif ketika ini sebanyak 424 kluster.
"KKM juga ingin memaklumkan terdapat tiga kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini yang melibatkan dua kluster tempat kerja dan satu kluster komuniti.
"Perincian kluster-kluster baharu adalah Kluster Jalan Tun Mutalib Tiga di Johor dan Kluster Jalan Sutera di Selangor masing-masing merupakan kluster tempat kerja serta Kluster Begalak di Sarawak iaitu kluster komuniti," katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Kluster Jalan Mutalib Tiga
Jelasnya, kluster ini melibatkan pekerja-pekerja di sebuah kilang di Jalan Tun Mutalib 3 di daerah Kota Tinggi di Johor dimana sebanyak 10 kes positif COVID-19 dikesan.
Kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke 309,258 dilaporkan positif COVID-19 pada 5 Mac lalu hasil saringan individu bergejala.
Sehingga 14 Mac 2021, sejumlah 469 individu telah disaring dan 10 daripadanya positif COVID-19.
Kluster Jalan Sutera
Kluster ini melibatkan pekerja-pekerja di sebuah kilang di Jalan Sutera 1/5A, Bukit Angkat, Kajang di daerah Hulu Hangat, Selangor.
Kes bagi kluster ini dilaporkan positif COVID-19 pada 10 Mac lalu selepas hasil saringan bersasar dijalankan terhadap pekerja di kilang terbabit.
Sehingga 14 Mac 2021, sejumlah 26 individu telah disaring, di mana 8 kes dikesan positif COVID-19 dalam
kluster ini.
Kluster Begalak
Kluster komuniti ini melibatkan daerah Sibu dan Song di Sarawak.
Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-317,522) dilaporkan positif COVID-19 pada 10 Mac 2021 hasil saringan individu bergejala.
Penularan kes-kes dalam kluster ini berlaku di Sungai Begalak, Batang Rajang, Song serta lokaliti kediaman
kes-kes yang terletak di sekitar daerah Song dan Sibu.
Sehingga 14 Mac 2021, sejumlah 335 individu telah disaring, di mana 49 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.
Dalam pada itu, tambah Dr Noor Hisham, sehingga Ahad lima lagi kluster ditamatkan menjadikan jumlah kluster tamat sebanyak 813 kluster.
Kluster Batu 57 di Batu Pahat, Johor
Melibatkan 13 kes positif COVID-19 melibatkan seorang warganegara dan 12 bukan warganegara. Tiada kes kematian dicatatkan dalam kluster ini.
Kluster Jalan Jelatek, Gombak
Melibatkan 35 kes positif COVID-19 melibatkan kesemua kes bukan warganegara dan tiada kes kematian.
Kluster Jalan Kuala Selangor, Selangor
Melibatkan 17 kes positif COVID-19 melibatkan semua warganegara dan tiada kes kematian.
Kluster Tanjung Megah, Johor dan Melaka.
Penularan kes di daerah Pontian, Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai, Jasin dan Melaka Tengah.
Melibatkan 379 kes positif COVID-19, 110 warganegara dan 269 bukan warganegara. Tiada kes kematian dicatatkan dalam kluster ini.
Kluster Tembok Renggam, Johor
Melibatkan 295 kes positif COVID-19, 213 warganegara, 82 bukan warganegara. Tiada kes kematian dicatatkan dalam kluster ini.
Secara keseluruhan pula sebanyak 1,237 kluster dicatatkan di negara ini sejak pandemik COVID-19 melanda Malaysia tahun lalu.
#Dr Noor Hisham Abdullah #KKM #Kementerian Kesihatan #COVID-19 #kesihatan #Malaysia #pandemik #Kluster baharu #kluster tamat #Ketua Pengarah Kesihatan
;