COVID-19: Tiga kluster baharu, dua kes indeks rekod sejarah perjalanan ke Sabah

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 3, 2020 10:53 MYT
Menurut Dr Noor Hisham, tiga kluster baharu itu ialah Kluster Bah Lunas di Kulim; Kluster Bah Rose di Kuala Muda; dan Kluster Jelok di Lembah Klang. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti tiga kluster baharu iaitu dua di Kedah dan satu di Lembah Kelang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster tersebut ialah Kluster Bah Lunas di Kulim; Kluster Bah Rose di Kuala Muda; dan Kluster Jelok di Lembah Klang.
Menurutnya, dua kluster di Kedah itu mempunyai sejarah perjalanan ke negeri Sabah.
Berikut perincian tiga kluster baharu itu:
KLUSTER BAH LUNAS, KEDAH
Kluster baharu ini telah dikenal pasti di Kulim, Kedah. Kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-11471) adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 35 tahun yang pulang dari kawasan berisiko di negeri Sabah.
Beliau dikesan positif pada 30 September 2020 dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.
Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan tiga (3) lagi kes positif COVID-19 bagi Kluster Bah Lunas dikenal pasti.
Semua kes positif ini melibatkan warganegara Malaysia. Mereka telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.
Sehingga 3 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 112 individu telah disaring.
Keputusan saringan adalah seperti berikut:
• Empat (4) dikesan positif COVID-19;
• 21 individu dikesan negatif; dan
• 87 individu masih menunggu keputusan.
Punca jangkitan adalah masih dalam siasatan.
BACA: COVID-19: 317 kes baharu, tertinggi dicatatkan di Malaysia
BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemaskini setiap hari)
KLUSTER BAH ROSE, KEDAH
Kluster baharu ini telah dikenal pasti di Kuala Muda, Kedah. Kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-11212) adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 48 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.
Kes dikesan positif COVID-19 pada 29 September 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.
Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan tujuh (7) lagi kes positif COVID-19 bagi Kluster Bah Rose dikenal pasti.
Semua kes positif ini melibatkan warganegara Malaysia. Mereka juga telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah untuk rawatan.
Sehingga 3 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 477 individu telah disaring.
Keputusan saringan adalah seperti berikut:
• Kedah (81 disaring):
o Tujuh (7) dikesan positif COVID-19;
o 69 individu dikesan negatif; dan
o Lima (5) individu masih menunggu keputusan.
• Pulau Pinang (396 disaring):
o Satu (1) dikesan positif COVID-19;
o 71 individu dikesan negatif; dan
o 324 individu masih menunggu keputusan.
Punca jangkitan adalah masih dalam siasatan
KLUSTER JELOK, SELANGOR
Kluster baharu ini telah dikenal pasti di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-11788) adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 27 tahun.
Kes dikesan positif COVID-19 melalui saringan individu bergejala pada 1 Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.
Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan tiga (3) lagi kes positif COVID-19 bagi Kluster Jelok dikenal pasti.
Semua kes positif ini melibatkan warganegara Malaysia. Mereka juga telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.
Sehingga 3 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah lapan (8) individu telah disaring.
Keputusan saringan adalah seperti berikut:
• Empat (4) dikesan positif COVID-19; dan
• Empat (4) individu dikesan negatif.
Punca jangkitan adalah masih dalam siasatan.
#Noor Hisham Abdullah #Dr Noor Hisham Abdullah #Hospital #Kedah #Lembah Klang #kluster COVID19 #kluster baharu COVID #COVID19 #koronavirus #kes positif #siasatan #kesihatan