COVID-19: Tiga kemungkinan mereka yang disuntik masih dijangkiti - Pakar
Astro Awani
Januari 24, 2021 12:58 MYT
Januari 24, 2021 12:58 MYT
KUALA LUMPUR: Tiga kemungkinan dikenal pasti menyebabkan seseorang yang sudah disuntik vaksin COVID-19 dijangkiti semula virus tersebut.
Dekan Eksekutif Fakulti Sains Perubatan dan Kesihatan Taylor's University, Prof Emeritus Dr PT Thomas menjelaskan, paling utama, ada kemungkinan, vaksin yang disuntik adalah tidak efektif.
Kedua, individu yang tetap positif COVID-19 walaupun sudah divaksin mungkin sudah dijangkiti virus itu sebelumnya.
Manakala ketiga, individu itu mungkin hanya terima satu dos suntikan dan bukan menerima dua dos seperti yang sepatutnya.
"Berbalik kepada kes positif yang dilaporkan di Indonesia selepas menerima vaksin Sinovac, berdasarkan apa yang saya sebut tentang efikasi, ia tidak mustahil.
"Ada tiga kemungkinan, pertama, orang yang positif termasuk dalam golongan orang di mana vaksin tidak efektif. Dan oleh itu, telah dijangkiti virus.
"Kedua, ada juga kemungkinan orang tersebut baru dijangkiti sebelum menerima suntikan vaksin tetapi tidak menunjukkan simptom, atau gejala, dan simptom hanya selepas suntikan.
"Ketiga, orang ini baru menerima satu dos sahaja di mana keberkesanan atau efikasi selepas satu dos adalah kurang berbanding dengan selepas menerima dos kedua," katanya kepada Astro AWANI melalui Skype pada Ahad.
Media Indonesia melaporkan semalam 25 rakyatnya yang telah menerima vaksin Sinovac masih dijangkiti COVID-19.
Bagaimanapun, kata Thomas, setiap vaksin ada kadar keberkesanannya.
Justeru, perlindungan vaksin tidak akan berkesan 100 peratus kepada semua orang yang menerimanya.
"Ini penting. Contohnya, jika efikasi satu vaksin adalah 90 peratus, ini bererti daripada 100 orang penerima, 90 orang akan dilindungi dan 10 orang lain masih ada kemungkinan dijangkiti virus.
"Ini hakikatnya untuk semua jenis vaksin, bukan sahaja untuk COVID-19. Tiada vaksin yang efikasinya 100 peratus," ujarnya lagi.
Mengulas lanjut mengenai keberkesanan vaksin Sinovac, kajian klinikal di beberapa negara menunjukkan efikasi vaksin itu berada pada tahap 52 peratus dan 90 peratus.
"Apabila diberi dalam dua dos suntikan, maka masa di antara dos pertama dan kedua adalah 14 hari, atau 21 hari iaitu dua minggu atau tiga minggu.
"Berbalik kepada kes positif yang dilaporkan di Indonesia selepas menerima vaksin Sinovac, berdasarkan apa yang saya sebut efikasi sebentar tadi, tidak mustahil (kemungkinan di atas)," jelasnya.
Ia tidak dapat dielakkan, katanya, kerana pemberian vaksin adalah merupakan langkah pencegahan, dan bukan rawatan.
"Kita tidak tahu sama ada seseorang itu dilindungi atau tidak. Hanya apabila mendapat jangkitan, baru kita tahu," katanya.
#Astro
#Astro Awani
#vaksin
#kes positif
#COVID-19
#Indonesia
#Sinovac
#perubatan
#kesihatan
#dijangkiti semula