COVID-19: Tiga fokus utama kerajaan sebelum negara ke fasa endemik - Hishammuddin

Firdaus Azil
Oktober 12, 2021 17:55 MYT
Hishammuddin berkata, tiga fokus tersebut ialah kawalan bersasar; kesedaran terhadap virus; dan pemerkasaan masyarakat.- Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan telah menggariskan tiga fokus utama untuk pembukaan semula sempadan negeri dan negara secara selamat, dan seterusnya beralih ke fasa endemik COVID-19.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tiga fokus tersebut ialah – kawalan bersasar; kesedaran terhadap virus dan pemerkasaan masyarakat.
Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, ia merupakan antara perkara yang tercapai hasil Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19, di Bangunan Parlimen, hari ini.
“Di bawah fokus (kawalan bersasar) ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang dalam proses merangka sistem amaran (alert system) jika berlaku lonjakan kes terutama apabila negara beralih ke fasa endemik.
“Fokus kedua (kesedaran terhadap virus) penting agar masyarakat memahami dan menerima hakikat bahawa kita harus hidup bersama virus COVID-19. Ini menuntut kita semua memahami risiko transmisi dan pentingnya mengelak melakukan perkara yang boleh meningkatkan risiko jangkitan,” katanya lagi.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri @HishammuddinH2O memberitahu, Kementerian Dalam Negeri dan PDRM telah memberi pengesahan akan melakukan pemeriksaan rawak atau secara mengejut meskipun kerajaan telah membenarkan perjalanan rentas negeri.#AWANInews #MalaysiaSihat pic.twitter.com/ofwlUykoVw

— Astro AWANI (@501Awani) October 12, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Sementara fokus ketiga (pemerkasaan masyarakat) pula, kata Hishammuddin lagi, membawa makna peranan dan tanggungjawab mencegah penularan virus COVID-19 turut perlu dimainkan oleh rakyat bersama pihak berkuasa terutama dalam menuju ke fasa endemik.
Beliau berkata demikian kepada media selepas selesai mempengerusikan mesyuarat kali kelima Menteri Kuartet COVID-19 yang turut disertai Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.
Turut dijemput menghadiri mesyuarat itu ialah Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Noraini Ahmad, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, biarpun rakyat Malaysia tidak lagi perlu menggunakan MyTravelPass untuk ke luar negara, mereka masih terikat dengan garis panduan serta peraturan yang ditetapkan oleh KKM yang mana mereka masih diwajibkan menjalani kuarantin sebaik pulang semula ke tanah air.
“Ini bermakna, sekali pun rentas negeri dan perjalanan ke luar negara telah dibenarkan, SOP tetap berkuatkuasa. Semua pihak masih perlu patuh kepada semua peraturan demi kebaikan diri sendiri dan orang sekeliling.
“Sebagai contoh, sebelum melakukan rentas negeri, rancanglah perjalanan dengan sebaik mungkin dan jangan terburu-buru sehingga mengabaikan aspek keselamatan keluarga masing-masing,” katanya.
Mengenai senarai negara-negara yang dibuka sempadannya dengan Malaysia, Hishammuddin berkata, perkara tersebut lebih sesuai dijawab oleh KKM.
Selain tentang rentas negeri, mesyuarat hari ini turut memperhalusi pelaksanaan garis panduan pengudaraan dan kualiti udara, tambahnya.
“Garis panduan ini penting demi mengawal penularan virus yang berada di udara terutamanya dalam persekitaran premis.
“Malah, faktor pengudaraan ini juga penting dalam kita beralih ke fasa endemik. Sehubungan itu, pihak syarikat dan industri diingatkan agar sentiasa patuh dan memastikan ruang kerja mereka mempunyai sistem pengudaraan yang baik,” katanya lagi.
#Menteri Kuartet COVID-19 #Hishammuddin #fasa endemik #pembukaan sempadan
;