COVID-19: Tidak wujud dakwaan 'potong giliran' pemberian vaksin di Perak - MB

Amirrul Rabbani
Mac 1, 2021 04:35 MYT
Seramai 221 individu termasuk MB Perak dan ahli Exco negeri menerima suntikan vaksin di PPV Stadium Indera Mulia hari ini. - Astro AWANI
IPOH: Proses penerimaan vaksin dalam fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Perak berjalan seperti yang dijadualkan.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, pemberian vaksin melibatkan Exco Kerajaan Negeri tidak bermakna wujud istilah atau dakwaan ‘potong giliran’ dalam penerimaan vaksin COVID-19.
“Pada pendapat saya, langkah paling baik adalah sistem penggiliran, selang-seli antara menteri dan orang ramai. Dengan cara ini baru boleh berlaku adil.
"Kami telah sediakan jadual. Di Perak terdapat seorang Menteri Besar dan 10 ahli Exco. Pada hari ini, pemberian vaksin adalah sebanyak 221 dos.
"Ini bermakna, pemberian vaksin kepada mereka selain daripada ahli Exco adalah sebanyak 210,” beliau berkata demikian selepas menerima suntikan COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia, di sini, pada Isnin.
Semalam, Khairy Jamaluddin, yang juga menteri penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, meminta agar individu kenamaan yang bukan bergelar wakil rakyat, tidak boleh menjadi penerima vaksin dalam fasa pertama program tersebut.
Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dilaporkan berkata, wakil rakyat turut disarankan agar mengambil vaksin COVID-19 secara berperingkat.
Mengulas lanjut Saarani berkata, kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan dan mengambil pandangan semua pihak sebelum memuktamadkan penjadualan pemberian vaksin COVID-19 fasa pertama di Perak.
#Ipoh #Exco #Menteri Besar #kerajaan #rakyat #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #Sains #COVID-19 #vaksin