COVID-19: Tidak semua kes sesuai kuarantin di rumah - MMA
Harits Asyraf Hasnan
Februari 9, 2021 08:31 MYT
Februari 9, 2021 08:31 MYT
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan kuarantin di rumah melibatkan kes ringan COVID-19 tahap satu dan dua masih boleh dilaksanakan, namun tidak sesuai dilakukan dalam semua situasi.
Itu tegas Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy yang khuatir jangkitan masih boleh berlaku dalam kalangan ahli keluarga atau mereka yang tinggal sebumbung.
Tegasnya, beberapa perkara perlu dipertimbang dengan teliti oleh Kementerian Kesihatan (KKM) seperti jumlah anggota isi rumah, keluasan kediaman serta isi rumah berisiko tinggi.
“Mereka (KKM) sepatutnya memastikan pesakit ini benar-benar terasing, menyediakan penjagaan yang sempurna selain tidak keluar ke mana-mana.
“Rumah yang kecil dan bilangan isi rumah yang ramai, sudah tentu risiko jangkitan virus ini lebih tinggi.
“Perlu dipastikan juga saringan turut dilakukan terhadap ahli keluarga lain yang tinggal sebumbung untuk pastikan mereka ini bebas virus, termasuk memastikan individu positif itu tidak mudah menjangkiti individu lain,” tegasnya ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.
MMA sebelum ini menggesa KKM membuat penambahbaikan segera dalam tatacara menangani kes-kes ringan COVID-19 serta kontak rapat.
Ia perlu bagi menangani kekeliruan di samping menghalang kemungkinan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kuarantin di rumah, yang boleh membawa kepada peningkatan kepada jumlah jangkitan dalam komuniti.
Jelasnya, pendidikan dalam kalangan rakyat Malaysia perlu diperkasa terutama melibatkan aplikasi MySejahtera bagi memastikan arahan kuarantin di rumah benar-benar berkesan.
“Pada ketika ini, aplikasi MySejahtera telah digunakan di semua pintu masuk di mana sahaja orang ramai berada, dan ia direkodkan.
“MySejahtera juga menghantar mesej selain melakukan pengesanan melibatkan mereka yang dijangkiti dalam skala radius tertentu.
“Saya fikir, orang ramai perlu diberi pendidikan dan dilatih menggunakan aplikasi MySejahtera sekali gus menjadi aplikasi pengesanan kontak dan pelaporan kes yang berkesan,” katanya.
MMA sebelum ini turut menyarankan kerajaan supaya meningkatkan usaha mendidik orang ramai mengenai SOP kuarantin di rumah dan peranan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) KKM dengan menerbitkan maklumatnya di semua media, terutama di kawasan berpendudukan tinggi, dalam bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil yang mudah, bagi memastikan ia difahami semua rakyat Malaysia.
Beliau turut mengesyorkan supaya Kementerian Komunikasi dan Multimedia meningkatkan usaha memastikan pesanan-pesanan KKM berhubung CAC dan SOP kuarantin rumah dapat disampaikan dengan meluas di semua peringkat.
#Malaysian Medical Association
#Kementerian Kesihatan
#MMA
#Dr Subramaniam
#COVID-19
#kes positif
#MySejahtera
#pengesanan kontak
#kes positif COVID
#kuarantin di rumah