COVID-19 tidak jejaskan Tahun Melawat Perak 2024
Bernama
Disember 29, 2023 05:15 MYT
Disember 29, 2023 05:15 MYT
IPOH: Kerajaan Negeri yakin pelaksanaan Tahun Melawat Perak (TMP) 2024 yang bermula Isnin depan tidak akan terjejas walaupun kes COVID-19 semakin meningkat di seluruh negara sejak kebelakangan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Loh Sze Yee yang melahirkan keyakinan itu berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah melakukan pelbagai usaha bagi membendung wabak berkenaan daripada terus menular.
"Seperti semua sedia maklum pelbagai langkah pencegahan COVID-19 seperti pemakaian pelitup muka, tidak berdiri terlalu dekat dengan orang lain dan sebagainya, masih kita lakukan sehingga kini. Selain itu, saya juga percaya kebanyakan pelancong sudah mengambil suntikan vaksin.
"Namun kerajaan negeri tetap akan terus mematuhi garis panduan dan prosedur operasi standard ditetapkan KKM dalam membendung penularan COVID-19 di kawasan-kawasan tumpuan pelancong," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Laman Sesawang Pelancongan Negeri berbahasa Cina, 'Perak GoGoGo' di Dewan Mesyuarat Utama Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.
Media sebelum ini melaporkan Perak menyasarkan kemasukan lapan juta pelancong domestik dan 350,000 pelancong dari luar negara berkunjung negeri ini sempena TMP 2024, dan 120 acara dise-naraikan dalam kalendar pelancongan Perak bagi memeriahkannya.
Sementara itu, Loh berkata laman sesawang pelancongan negeri berbahasa Cina, 'Perak GoGoGo' diwujudkan sebagai inisiatif untuk menarik minat kehadiran lebih ramai pelancong terutama dari negara China sempena TMP 2024.
"Kita sudah ada banyak laman sesawang pelancongan negeri yang menggunakan Bahasa Melayu cuma usaha ini kita adakan bagi memperkasakan sektor pelancongan tempatan dengan memberi tumpuan kepada pasaran Bahasa Cina," katanya.
Inisiatif laman sesawang itu diadakan melalui kerjasama bersama Media Chinese International Limited Group (MCIL) yang mana ia melibatkan akhbar berbahasa Cina tempatan dan antarabangsa.
Selain gambar dan artikel pendek berkenaan tempat dan produk pelancongan di Perak, laman sesawang Perak GoGoGo juga mengandungi video-video pelancongan yang di Ipoh sebagai tumpuan utama serta destinasi wajib untuk dikunjungi.
--BERNAMA