COVID-19: Tiba masanya SPR perkenal undi pos, e-undi

Isabelle Leong
November 15, 2020 07:34 MYT
Calon dan parti bertanding dinasihat menggunakan cara berkempen yang lebih kreatif serta mematuhi norma baharu dan Garis Panduan Pencegahan COVID-19 dalam pilihan raya. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Sudah sampai masanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperkenalkan kaedah pengundian menerusi pos dan secara dalam talian (e-undi) bagi mengehadkan pergerakan pengundi dari luar yang berhasrat pulang mengundi.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata ia memastikan pilihan raya berjalan dengan lancar di tengah-tengah penularan pandemik COVID-19.
“Saya rasa, sudah sampai masanya SPR meningkatkan kategori di Semenanjung atau luar kawasan pengundian.
“Kedua, kita patut memikirkan atau merancang kaedah e-undi iaitu dengan penggunaaan digital teknologi. Kalau ada e-undi, ia lebih mudah, tetapi mungkin prosedurnya agak susah.
“Cara lain yang ada, di samping prosedur operasi standard (SOP), bagi mengehadkan pergerakan, ialah pengundian pos,” katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.
BACA: SPR pertimbang cadangan tambah kategori individu undi pos - Pengerusi
Kata Dr Zainal lagi, calon dan parti yang bertanding dinasihatkan menggunakan cara berkempen yang lebih kreatif serta mematuhi norma baharu dan Garis Panduan Pencegahan COVID-19 dalam pilihan raya.
“Sekiranya berlakunya pilihan raya, gunakan norma baru dan kempen cara baru.
“Jika terpaksa adakan pilihan raya, kakitangan SPR perlu mengikut (pemakaian) petugas barisan hadapan.
“Pengundi juga perlu mengikut SOP. Kami tidak mahu gelombang keempat susulan pelaksanaan PRK (Pilihan Raya Kecil) Batu Sapi,” katanya.
BACA: Kempen pilihan raya selamat? Terpulang kepada kreativiti calon, parti - SPR
PRK Parlimen Batu Sapi diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong daripada parti Warisan, yang meninggal dunia pada 2 Oktober lepas.
SPR menetapkan 23 November ini sebagai tarikh penamaan calon, 1 Disember sebagai tarikh mengundi awal dan 5 Disember sebagai tarikh mengundi.
#Suruhanjaya Pilihan Raya #pilihan raya #SPR #COVID-19 #undi pos #e-undi #undi #dalam talian #Zainal Ariffin Omar #Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam #pergerakan #pengundi luar #norma baru #kempen #petugas barisan hadapan #gelombang keempat #PRK Batu Sapi
;