COVID-19: Tiada sambutan tahun baharu di kebanyakan negeri
Bernama
Disember 31, 2020 07:09 MYT
Disember 31, 2020 07:09 MYT
KUALA LUMPUR: Ketibaan tahun baharu 2021 tidak seperti kelaziman yang menampilkan sambutan ambang tahun baharu dengan acara besar-besaran penuh meriah, berikutan negara masih berdepan dengan pandemik COVID-19.
Kecuali Sarawak, negeri-negeri lain tidak mengadakan majlis rasmi sambutan tahun baharu, namun orang ramai tetap mengambil peluang mengunjungi beberapa lokasi menarik dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 termasuk memakai pelitup muka dan tidak berkumpul dalam kumpulan yang ramai.
Sarawak menjadi satu-satunya negeri yang menganjur acara tradisi kiraan detik-detik terakhir penghabisan tahun dan ketibaan tahun baharu malam tadi.
Walaupun setakat ini ia dilihat berjaya melandaikan lengkungan kes COVID-19, prosedur operasi standard (SOP) tetap dipatuhi di sepanjang acara sambutan.
Pematuhan SOP itu tidak menghalang kemeriahan acara penuh berwarna-warni yang menampilkan pelbagai pertunjukkan tradisional, dan persembahan pentas penuh bertenaga artis terkenal seperti Dayang Nurfaizah, Bob dan Hafiz, di Stadium Perpaduan.
Di TERENGGANU, kerajaan negeri memilih menganjurkan acara Pentas Online: Ambang Tahun Baharu 2021 yang penuh dengan pengisian program keagamaan secara maya.
Acara yang bermula 9 malam itu diisi dengan pelbagai acara termasuk persembahan 'buskers', program 'talkshow' yang bersifat keagamaan dan laungan takbir, alunan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan Asmaul Husna apabila menjelang tengah malam.
Di KUALA LUMPUR, keadaan di sekitar Bukit Bintang sesak dengan kenderaan tetapi berbeza di Dataran Merdeka yang lengang dan ditutup daripada dihadiri orang ramai dengan pihak berkuasa tempatan sedang menjaga kawasan berkenaan.
Di SELANGOR, tinjauan Bernama di taman tema i-City, Seksyen 7 Shah Alam mendapati pengunjung memenuhi 'taman lampu digital' itu bagi mengisi masa terluang sempena menjelang tahun baharu dengan pengunjung dilihat mengenakan pelitup muka serta mengimbas suhu badan ketika memasuki taman tema itu.
Di MELAKA, pusat tumpuan pelancong, Bandar Hilir sesak dengan kenderaan walaupun tiada sambungan ambang tahun baharu seperti tahun sebelum ini dengan kebanyakan kenderaan yang memasuki pusat bandar adalah kenderaan dari luar dan aliran trafik bergerak sangat perlahan.
Di KELANTAN, lain pula caranya apabila seramai 250 peserta berkayuh basikal sejauh sembilan kilometer pada Kejohanan Kayuhan Malam Tahun Baru TM Fly Over di Tanah Merah anjuran Kelab Berbasikal Mahsari.
Di PERLIS pula, walaupun tiada sambutan ambang tahun baharu, orang ramai tetap berkunjung ke persisiran pantai Kuala Perlis bagi menikmati pemandangan tepi laut pada waktu malam bersama ahli keluarga dan tidak kurang juga hadir menikmati sajian ikan bakar.
Di SABAH, Menteri Tugas-tugas Khas Sabah Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif bersama orang ramai menyertai program keagamaan Munajat Mahabbah dan doa selamat di Masjid Negeri yang dipimpin Imam Besar Suhaidi Kuanting dan Mufti Negeri Sabah Datuk Bungsu Aziz Jaafar.
Tinjauan Bernama di beberapa kawasan tepi pantai yang menjadi tumpuan orang ramai setiap tahun antaranya Taman Awam Teluk Likas dan Taman Awam Tanjung Aru mendapati hanya segelintir pengunjung berada di kawasan itu akibat hujan selain larangan berkumpul di tempat awam.
Di NEGERI SEMBILAN, terdapat sambutan malam tahun baharu yang disambut berbeza dan unik apabila Pusat Pemuliharaan dan Penetasan Penyu, Glory Beach Resort, Port Dickson melepaskan tujuh ekor anak penyu Agar di Pantai Tanjung Gemok sebagai simbolik sempena memasuki tahun baharu.
Di PULAU PINANG, orang ramai masih keluar berkumpul untuk menyambut tahun baharu 2021 walaupun tiada sambutan ambang tahun baharu dianjurkan kerajaan negeri mahupun pihak swasta dengan tumpuan antaranya di Persiaran Gurney, pusat membeli belah Gurney Paragon, Persiaran Karpal Singh dan Straits Quay.
Di PERAK, tinjauan di taman tema Lost World Of Tambun, Ipoh yang sentiasa menjadi lokasi tumpuan pengunjung juga mendapati tiada sambutan ambang tahun baharu pada kali ini berbanding tahun sebelum ini terdapat pertunjukan bunga api dan beroperasi hanya sehingga 11 malam ini.
Di PAHANG pula, hujan renyai tidak menghalang orang ramai berkumpul di Teluk Cempedak, Kuantan bagi menyambut sambutan tahun baharu bersama ahli keluarga dan kenalan mereka di tempat tumpuan pelancong itu.
Di KEDAH, orang ramai tetap mengunjungi beberapa lokasi sekitar bandaraya Alor Setar bagi meluangkan masa sempena ambang tahun baharu walaupun tiada sebarang sambutan diadakan.
Tinjauan Bernama mendapati lokasi seperti Menara Alor Setar dan Dataran Medan Bandar menjadi pilihan bagi penduduk setempat melakukan aktiviti sendiri bersama keluarga masing-masing tanpa mengabaikan pemakaian pelitup muka.
Di JOHOR, pertunjukan bunga api diadakan di daerah Mersing yang dihadiahkan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bagi penutup tirai tahun 2020 yang penuh cabaran.
Meskipun hujan lebat, orang ramai sanggup menunggu selama sejam setengah sebelum pertunjukan itu bermula kira-kira 11.20 malam.
Di PUTRAJAYA, orang ramai dilihat menjalankan aktiviti bersukan seperti berbasikal dan berjogging serta berkumpul bersama keluarga dan rakan-rakan tidak melebihi 10 orang di Dataran Putrajaya.
-- BERNAMA