COVID-19: Tiada lonjakan kes ekoran kemasukan pengembara dari China - Dr Noor Hisham
Umavathi Ramayah
Januari 10, 2023 13:18 MYT
Januari 10, 2023 13:18 MYT
PUTRAJAYA: Tiada sebarang lonjakan kes COVID-19 dilaporkan berikutan kemasukan pengembara dari China.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 330,000 pengembara dari negara itu memasuki Malaysia sepanjang tahun lalu.
"Jumlah itu termasuk 53,000 pengembara China pada Disember lalu. Jadi kita tidak nampak berlaku sebarang lonjakan dari segi kes dari tahun lepas.
"Bagaimanapun, kita akan memantau kes-kes jangkitan kalau berlaku," katanya pada sidang media selepas sesi libat urus Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa bersama media, di sini pada Selasa.
Selepas hampir tiga tahun menutup pintu sempadannya berikutan penularan pandemik COVID-19 bemula pada 2020, kerajaan China akhirnya kembali membuka semula pintu sempadannya bermula Ahad lalu.
Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China pada 26 Disember lalu, mengumumkan tahap COVID-19 diturunkan daripada Kelas A kepada Kelas B.
Kerajaan China turut menamatkan syarat kuarantin kepada pelawat luar bermula hari ini, yang sudah berkuat kuasa selama hampir tiga tahun, walaupun negara itu sedang bergelut dengan lonjakan kes COVID-19.
BERITA LANJUT MENYUSUL