COVID-19: Tiada bazar Ramadan di Negeri Sembilan tahun ini
Astro Awani
Mac 26, 2020 17:47 MYT
Mac 26, 2020 17:47 MYT
Penganjuran bazar Ramadan di Negeri Sembilan tahun ini terpaksa dibatalkan sebagai langkah berjaga-jaga bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, keputusan tersebut dicapai selepas mengambil kira keadaan semasa ketika ini.
“Kita putuskan tidak ada bazar Ramadan tahun ini kerana tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April ini sudah hampir dengan bulan Ramadan.
“Mungkin menjelang hari akhir PKP, kes COVID-19 di negara kita sudah menurun tapi kita tidak boleh ambil mudah dengan buka ruang seperti di bazar Ramadan yang membolehkan rakyat dengan mudah terdedah kepada wabak itu semula,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Negeri pada Khamis.
Justeru, Aminuddin mencadangkan supaya peniaga kecil menjalankan operasi peniagaan di premis atau kediaman masing-masing termasuk menggunakan khidmat penghantaran.
“Peniaga perlu lebih kreatif... kita tidak benarkan mereka berniaga secara terbuka seperti di bazar Ramadan kerana tidak mahu ambil risiko.
“Saya harap masyarakat dapat bersabar dan kerajaan negeri akan berusaha membantu bagi meringankan beban terutama keluarga yang memerlukan,” kata beliau.
Aminuddin turut menjelaskan, kerajaan negeri mengambil contoh tindakan kerajaan China yang terus melarang pergerakan rakyatnya secara terbuka di Wuhan, meskipun tiada kes baharu direkodkan dalam beberapa hari ini.
#Aminuddin Harun
#Bazar Ramadan
#bazar ramadan dibatalkan
#COVID-19
#dilarang
#jualan makanan terbuka
#Menteri Besar
#Negeri Sembilan
#pasar
#Ramadan
#Seremban