COVID-19: Tiada arahan larang pekerja kilang hantar anak ke sekolah - Exco Melaka

Bernama
Julai 15, 2020 05:18 MYT
Tular di media sosial mesej berkenaan larangan kepada ibu bapa yang bekerja di kilang tersebut, untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah. - Gambar hiasan
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka tidak pernah mengeluarkan arahan larangan kepada para pekerja di sebuah kilang di sini menghantar anak-anak mereka ke sekolah, disebabkan terdapat pekerja di kilang tersebut yang positif COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Rahmad Mariman berkata, hasil pengesanan kontak dan siasatan dijalankan melibatkan kes tersebut mendapati tiada risiko jangkitan COVID-19 dalam kalangan pekerja lain dan tiada keperluan untuk mengenakan kuarantin terhadap keluarga dan anak-anak pekerja di kilang tersebut.
"Saya memohon orang ramai agar merujuk kepada kenyataan rasmi oleh Kementerian Kesihatan dan JKN Melaka berkaitan perkembangan kes COVID-19 di negara dan negeri ini," katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan terdapat mesej yang tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp berkenaan larangan kepada ibu bapa yang bekerja di kilang tersebut, untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah.
-- BERNAMA
#anak-anak #COVID-19 #Jabatan Kesihatan Negeri #JKN #kes positif #kilang #kuarantin #larangan #media sosial #Melaka #mesej tular #Pekerja #Rahmad Mariman #risiko jangkitan #sekolah
;