COVID-19 terkawal tetapi virus akan terus ada bersama kita - KKM

Afiezy Azaman
Disember 29, 2023 10:50 MYT
Virus COVID-19 akan sentiasa berada di udara bersama masyarakat, sama seperti virus salur pernafasan yang lain, justeru orang ramai dinasihat sentiasa mengamalkan keseimbangan dari segi kesihatan dan kehidupan. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Situasi COVID-19 dalam negara berada dalam keadaan terkawal setakat ini.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kebanyakan kes COVID-19 yang dilaporkan di Malaysia mengalami gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital.
Katanya, bagi Minggu Epid ME-51 (17 - 23 Disember 2023), kadar kemasukan pesakit yang menghidap COVID-19 ke dalam hospital adalah pada 0.5 peratus dan kadar kematian 0.08 peratus .
"Ini bermaksud, kadar untuk kedua-dua parameter ini kekal pada tahap yang rendah.
"Sehingga kini, tiada varian baharu yang dikesan di Malaysia.
"Varian yang sedang menular di Malaysia adalah masih varian Omicron, dengan subvariannya XBB.1.16, XBB.1.5, EG.5 dan termasuk JN.1.
"Subvarian Omicron yang sedang menular diketahui tidak menyebabkan kes yang lebih teruk," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, KKM berkata, virus COVID-19 akan terus berada di udara bersama masyarakat, sama seperti virus salur pernafasan yang lain seperti influenza.
Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan keseimbangan dari segi kesihatan dan kehidupan semasa musim peningkatan kes-kes jangkitan berjangkit.
"KKM komited akan terus memantau situasi COVID-19 dan varian berkaitan dari semasa ke semasa.
"Kumpulan rentan seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah adalah amat digalakkan untuk memakai pelitup muka semasa berada di tempat sesak atau menggunakan pengangkutan awam.
"Orang ramai juga dinasihatkan agar meneruskan tanggungjawab penjagaan kendiri (pemakaian pelitup muka di situasi yang memerlukan, melakukan TRIIS dan kemaskini status pada MySejahtera), melindungi golongan rentan dan mendapatkan maklumat yang betul dan sahih berkaitan kes jangkitan saluran pernafasan termasuk COVID-19 di sumber yang boleh dipercayai," ujarnya.
#COVID-19 #Kementerian Kesihatan #pelitup muka #Omicron
;