COVID-19: Tentera bukan ambil alih, tetapi membantu polis - KPN
Fareez Azman
Mac 21, 2020 16:35 MYT
Mac 21, 2020 16:35 MYT
Kehadiran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara adalah bagi menguatkan lagi kekuatan anggota pasukan keselamatan negara dalam tempoh tersebut.
Demikian tegas, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika diminta mengulas berkenaan bantuan yang dipolemikkan oleh sesetengah pihak.
"Bantuan itu tidak pernah sekali pun mengatakan bahawa ATM akan mengambil alih, sedangkan ATM hanya menambah kekuatan PDRM menjalankan tugasan. Dalam satu penugasan, kumpulan ini dimana PDRM akan menjadi ketuanya, jadi tidak timbul ATM akan ambil alih," katanya sewaktu hadir di Buletin AWANI Khas Astro AWANI di sini hari ini.
"Kuasa masih pada polis, tetapi dengan keberadaan ATM kita dapat perluaskan kawasan ronda, dapat diperketatkan lagi terutamanya di Pantai Barat. Kita tahu kawasan itu kerap digunakan sebagai laluan tikus, ini bahaya kerana kita tidak tahu mereka telah dijangkiti di negara asal dengan ada pasukan ini dapat perbanyakkan lagi kawalan perbatasan.
"Saya katakan, saya dan Panglima ATM sentiasa bersangka baik, Insyallah tidak ada soal polis jadi 'second liner' jadi tolak ketepi pemikiran yang cukup sempit ini," katanya lagi.
Malah dengan bantuan ATM, tambah Abdul Hamid, ia memberi persediaan maksimum kepada negara dalam menghadapi jangkitan pandemik COVID-19 ketika ini.
ATM jelasnya, mempunyai kepakaran serta fasiliti seperti hospital medan yang boleh digunakan jika situasi semakin sukar.
"ATM mempunyai hospital, kepakaran serta mempunyai peralatan untuk membuka hospital medan sekiranya darurat, sudah ada d isitu apabila dilihat ATM diperingkat awal ini mengekang COVID-19," kata Abdul Hamid.
#Angkatan Tentera Malaysia
#coronavirus
#keselamatan
#Ketua Polis Negara
#koronavirius
#koronavirus
#KPN
#Malaysia
#Polis Diraja Malaysia