COVID-19: Tempoh dua minggu jadi penentu
Bernama
Mei 25, 2021 09:50 MYT
Mei 25, 2021 09:50 MYT
KUALA LUMPUR: Tempoh dua minggu bagi rakyat Malaysia untuk bersama-sama mengehadkan pergerakan kendiri atau 'self lockdown' sangat signifikan, yang akan menentukan di mana kedudukan negara dalam statistik kebolehjangkitan wabak yang semakin mengganas ini.
Ia susulan kes harian yang terus mencatatkan jumlah melebihi 6,000 kes sejak 19 Mei lepas dengan kes tertinggi sebanyak 6,976 direkodkan pada Ahad, baru-baru ini.
Kebimbangan terhadap penyebaran virus yang berasal dari Wuhan, China itu semakin memuncak apabila keseluruhan mangsa yang maut akibat COVID-19 kini telah melebihi 2,300 orang dengan jumlah kematian tertinggi, sebanyak 61 kes direkodkan semalam.
Tidak mustahil angka kematian akan terus meningkat terutama dengan situasi kritikal penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi atau ICU di seluruh negara telah mencapai 91 peratus, setakat Jumaat lepas.
Susulan situasi semasa sistem kesihatan yang sedang berhadapan dengan krisis yang amat besar ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah terus berulang kali merayu masyarakat untuk bersama-sama berperanan memutuskan rangkaian jangkitan dengan 'duduk di rumah' sekiranya tiada urusan penting di luar.
Namun, 'rayuan' sama oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan meminta rakyat mengehadkan pergerakan ternyata mengundang perasaan kurang senang netizen terutama langkah 'tidak 'popular' kerajaan yang dikatakan memihak kepada sektor ekonomi berbanding nyawa rakyat.
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya yang diharapkan banyak pihak bagi mengekang penularan wabak ini meleset apabila kerajaan hanya mengambil langkah mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0 yang bermula hari ini.
Persoalannya, adakah langkah yang diambil ini berupaya melandaikan lengkung sekali gus mengawal penularan virus COVID-19 menerusi SOP PKP 3.0 yang lebih ketat sepanjang tempoh dua minggu ini?.
Menyentuh perkara ini, Pakar Kesihatan Awam Dr Hanafiah Bashirun yakin Malaysia mampu menurunkan kes COVID-19 sehingga 20 peratus dalam tempoh dua minggu sekiranya masyarakat mengambil tanggungjawab dengan melakukan sekatan pergerakan kendiri.
Malah, langkah kerajaan memperketatkan SOP PKP 3.0 juga merupakan tindakan paling tepat bagi mengimbangi isu kesihatan dan ekonomi.
"Pada PKP 1.0 Mac 2020, kita berjaya melandaikan kes sehingga satu digit dalam tempoh enam minggu untuk kes COVID-19 yang ketika itu hanyalah sekitar 300 lebih.
"Tetapi apabila kes harian mencecah 6,000 setiap hari, berapa lama pula kerajaan perlu mengambil tempoh untuk lockdown? Adakah memadai dua minggu atau perlu dilanjutkan sebulan?," katanya kepada Bernama.
Ini kerana mengikut R-naught terkini, apabila PKP sepenuhnya dilaksanakan kemungkinan hanya mampu mengurangkan kes daripada 6,000 kepada 4,000 kes sahaja sedangkan langkah tersebut akan memberi lebih bebanan kepada sektor ekonomi dan sekali gus mewujudkan pelbagai masalah termasuk kesihatan mental.
Paling membimbangkan banyak sektor ekonomi akan terjejas terutama perkilangan yang tidak dapat beroperasi dan dijangka memberi kesan kehilangan pekerjaan serta pendapatan kepada mereka yang terkesan.
"Ini akan meningkatkan pula kes seperti kemurungan, bunuh diri, penderaan dan gangguan seksual. Apabila kerajaan membuat keputusan memberi sedikit kelonggaran (dengan tidak melaksanakan PKP penuh), negara boleh menyelamatkan kedua-duanya sekali iaitu kesihatan dan ekonomi,'' jelas beliau.
Usaha mengehadkan pergerakan adalah langkah paling berkesan mengurangkan jumlah jangkitan namun usaha ini menjadi sukar sekiranya masyarakat masih memandang enteng pematuhan SOP.
Keadaan ini boleh dilihat apabila setiap hari, ratusan individu ditahan dan dikompaun pihak berkuasa atas pelbagai kesalahan ingkar SOP. Untuk semalam sahaja, 800 kesalahan direkodkan antaranya tiada penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka, tidak mematuhi kawalan pergerakan dan membawa penumpang berlebihan.
"Mengambil contoh sambutan Aidilfitri baru-baru ini, apabila ada yang ingkar dengan melakukan ziarah sehingga menyumbang kepada peningkatan kes yang dilaporkan di dalam komuniti.
"Di mana silapnya, adakah kerajaan atau diri sendiri? Kalau kita perbetulkan keadaan dengan cara 'self lockdown' termasuk jangan keluar tanpa urusan penting atau jangan benarkan orang datang ke rumah, kita boleh landaikan wabak ini,'' tegasnya.
Oleh itu, usahlah kita asyik bertelagah menyalahkan pihak lain apabila jumlah kes terus meningkat, sebaliknya nilailah kembali sejauh mana usaha yang telah sama-sama dilakukan bagi memastikan virus maut ini dapat dilandaikan.
-- BERNAMA