COVID-19: Tempahan vaksin lebih 108 peratus, lebih daripada mencukupi untuk semua - MOSTI

Isabelle Leong
Mac 3, 2021 09:46 MYT
AHMAD AMZAD (tengah): Nasihat saya kepada semua rakyat Malaysia adalah sila daftar sekarang dalam MySejahtera untuk divaksin. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Tempahan vaksin COVID-19 adalah melebihi 108 peratus daripada populasi rakyat Malaysia dan lebih daripada mencukupi untuk diberikan kepada semua rakyat.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata orang ramai tidak perlu bimbang bahawa tiada bekalan vaksin yang mencukupi.
“Nasihat saya kepada semua rakyat Malaysia adalah sila daftar sekarang dalam MySejahtera untuk divaksin.
“Program vaksin yang disediakan adalah mencukupi untuk semua.
“Dari segi giliran, melainkan ada sebab yang munasabah, mungkin boleh dipertimbangkan. Selain itu, sebarang kegiatan potong barisan dan sebagainya, kami tidak benarkan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan aplikasi MyCar 3.0 di Restoran Rebung Datuk Chef Ismail pada Rabu.
BACA: MOSTI mulakan projek penjejakan vaksin dengan teknologi Blockchain
Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memberikan jaminan bahawa tidak akan berlaku sebarang gangguan bekalan elektrik di Pusat Simpanan Vaksin (PSV) bagi memastikan vaksin tidak rosak.
“Vaksin Pfizer memerlukan negatif 70 darjah Celsius, jadi untuk kelengkapan peti ultra sejuk, kami ada kemudahannya.
“Saya sudah berbincang dengan TNB dan mereka mempunyai pelan ‘backup’ supaya tidak berlakunya gangguan bekalan elektrik
“Ia supaya tiadak berlaku gangguan bekalan elektrik seperti apa yang berlaku di Jepun yang melibatkan lebih 1,000 dos vaksin yang terpaksa dibuang disebabkan bekalan elektrik terputus,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata pemilik syarikat media boleh menghantar permohonan kepada MOSTI supaya petugas media dibenarkan menerima suntikan vaksin pada fasa pertama.
Sebelum ini, sekitar 13 pengamal media di Sarawak menjadi antara petugas barisan hadapan yang diberikan vaksin COVID-19 fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
#vaksin #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #MySejahtera #Ahmad Amzad Hashim #Tenaga Nasional Berhad #Pusat Simpanan Vaksin #Pfizer #PSV #COVID-19 #rakyat Malaysia #Jepun #TNB