COVID-19: Tambah 'food bank' usaha bantu masyarakat terjejas - PKJP
Astro Awani
September 17, 2020 15:00 MYT
September 17, 2020 15:00 MYT
Lebih banyak agensi perlu bersama dalam usaha menambah bilangan bank makanan (food bank) untuk membantu masyarakat terjejas akibat pandemik COVID-19.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Jiwa Prihatin (PKJP), Datuk Tan Lek Khang berkata, ia sekali gus memastikan golongan sasar tidak putus keperluan asas terutama mereka yang kehilangan kerja semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Program ini adalah satu inisiatif yang baik bagi membantu pelbagai golongan masyarakat terutama mereka yang terjejas berikutan pandemik COVID-19 melalui penggemblengan syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan di bawah satu bumbung.
"Kami berterima kasih kepada Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor Bahru yang turut beri peluang kepada kami untuk turut sama-sama membantu golongan B40 melalui sumbangan keperluan asas untuk mengisi Food Bank mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.
Terdahulu, Lek Khang menyampaikan sumbangan keperluan asas untuk golongan B40 melalui Food Bank bersempena program Jom Semarakkan Srikandi Untuk Malaysia Prihatin.
Program diadakan di Pusat Kesihatan Komuniti Azlinda (Azlinda Unity Wellness Center) yang bertempat di Taman Suria, Johor Bahru.
Program dirasmikan Ketua Srikandi Johor Bahru, Azlinda Abdul Latif yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Jelas Lek Khang, sumbangan itu sebagai menyokong program komuniti yang dianjurkan Srikandi Bersatu Johor Bahru yang mengetengahkan aspek kebajikan, pendidikan dan kesihatan.
Food Bank dikendalikan Srikandi Johor Bahru adalah bagi membantu penduduk sekitar yang tidak berkemampuan mendapatkan bahan keperluan asas seperti beras, tepung dan gula pasir.
Menurutnya, PKJP sentiasa turun padang bagi mengenalpasti pelbagai golongan kurang berkemampuan di negeri itu terutama di sekitar Labis serta Segamat.
"Ia sudah dilakukan sejak setahun lalu namun dipergiatkan lagi ketika bermula semasa PKP pada 18 Mac lalu.
"Sejak pelaksanaan PKP sehingga setakat ini, PKJP telah menyalurkan sumbangan barangan keperluan asas kepada lebih 5,000 penerima bagi mengurangkan beban mereka," ujarnya.