COVID-19: Tahap kesiagaan, misi Malbatt tidak terjejas - Panglima Angkatan Tentera

Bernama
Disember 1, 2021 15:12 MYT
Affendi berkata, situasi jangkitan COVID dalam kalangan anggota tentera buat masa ini berada dalam keadaan terkawal. - Gambar fail
PORT DICKSON: Penularan COVID-19 tidak menjejaskan tahap kesiagaan anggota pasukan pengaman Batalion Malaysia (Malbatt) untuk menjalankan misi di Lubnan, kata Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang.
Affendi berkata, situasi jangkitan COVID dalam kalangan anggota tentera buat masa ini berada dalam keadaan terkawal dan menerusi langkah pencegahan serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang berkesan, mengurangkan jangkitan dalam kalangan anggota.
"Kita ambil langkah lebih efektif supaya dapat mengekang penularan wabak ini dalam kalangan anggota. Semasa ditempatkan di sana (Lubnan), terdapat juga anggota terkena jangkitan COVID-19 tetapi tidak menjejaskan misi itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Pembubabaran dan Pemakaian Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (Pingat PNBB) di sini yang turut dihadiri Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain.
Mengulas mengenai varian 'Omicron', beliau berkata pihaknya sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan dalam usaha membantu negara menangani penularan wabak itu.
-- BERNAMA
#MALBATT #Affendi Buang #COVID-19 #SOP
;