COVID-19: Tahap keresahan, tekanan rakyat Malaysia paling tinggi - Ipsos
Isabelle Leong
Januari 21, 2021 16:32 MYT
Januari 21, 2021 16:32 MYT
KUALA LUMPUR: Tahap keresahan dan stres dalam kalangan rakyat Malaysia tatkala berdepan dengan pandemik COVID-19 adalah paling tinggi dalam segala aspek berbanding 27 negara yang lain.
Menurut tinjauan firma penyelidikan pasaran dan perundingan antarabangsa, Ipsos, keresahan tersebut tercetus ekoran perubahan rutin selain tekanan keluarga.
Hasil tinjauan firma itu mendapati tahap keresahan rakyat negara ini berhubung situasi pekerjaan adalah 74 peratus berbanding 56 peratus di peringkat global.
Bagi tahap stres atau tekanan disebabkan perubahan rutin bekerja dan organisasi, Malaysia merekodkan 67 peratus iaitu lebih tinggi daripada global yang mencatatkan 55 peratus.
Berhubung stres berkaitan tekanan akibat keluarga, sebagai contoh melibatkan penjagaan anak, tinjauan Ipsos mendapati kadar tekanan di Malaysia mengatasi dengan 58 peratus berbanding 45 peratus di peringkat global.
Dalam tinjauan ‘Impak pandemik terhadap tenaga kerja rakyat Malaysia’ juga mendapati wanita di bawah umur 35 tahun dan golongan berpendapatan rendah pula lebih cenderung untuk berasa resah dan tertekan berhubung situasi pekerjaan.
Dalam pada itu, di Malaysia juga, sebanyak 10 peratus pekerja telah kehilangan pekerjaan manakala tujuh peratus pekerja telah meninggalkan pekerjaan mereka.
Kajian tersebut dilakukan terhadap 12,823 responden yang terdiri daripada pekerja yang berumur antara 16 hingga 74 tahun di 28 negara.
Mengurus stres ketika Perintah Kawalan Pergerakan