COVID-19: Suruhanjaya Koperasi umum penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan

Astro Awani
Oktober 14, 2020 00:13 MYT
Suruhanjaya Koperasi umum penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan sehingga 31 Disember akibat pandemik COVID-19 - Gambar SKM
KUALA LUMPUR : Semua koperasi diberi pelanjutan tempoh sehingga 31 Disember 2020 untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan selaras dengan seksyen 39(1) Akta Koperasi 1993.
Suruhanjaya Koperasi Malaysia (Suruhanjaya Koperasi) dalam satu kenyataan memaklumkan, ia berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang dilanjutkan sehingga 31 Disember depan.
"Ia adalah regulator kepada semua koperasi berdaftar yang berperanan memastikan arahan Kerajaan berhubung langkah pencegahan berhubung penyakit COVID-19 dipatuhi.
"Bagaimanapun, sekiranya koperasi berhasrat untuk mengadakan mesyuarat agung dalam tempoh pandemik ini dinasihatkan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan/ Mesyuarat Agung Kawasan/ Mesyuarat Agung Khas/ Mesyuarat Agung Permulaan bagi Gerakan Koperasi yang telah ditetapkan selaras dengan Akta Koperasi 1993 (Akta 502).
"Koperasi juga digalakkan untuk mengadakan mesyuarat agung secara dalam talian seperti persidangan video dan kaedah lain yang bersesuaian tertakluk kepada arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari masa ke semasa," jelas kenyataan itu.
SKM adalah satu entiti yang telah diperbadankan pada 1 Januari 2008. Ia sebelumnya dikenali sebagai Jabatan Pembangunan Koperasi Malaysia (JPK).
Jelas kenyataan itu, penjelasan lanjut boleh diperolehi dari Pusat Panggilan Suruhanjaya Koperasi melalui aplikasi Whatsapp Hotline SKM di talian 019-2445339 atau emel webmaster@skm.gov.my.
#GERAKAN #SOP #COVID-19 #Suruhanjaya Koperasi Malaysia #Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan #perintah kawalan pergerakan #KKM
;