COVID-19: Suntikan vaksin beri kelegaan kepada pemain industri pelancongan
Nur Fazlizai Ali
Julai 23, 2021 10:29 MYT
Julai 23, 2021 10:29 MYT
HULU TERENGGANU: Pemberian suntikan vaksin COVID-19 kepada para penggiat industri pelancongan memberi kelegaan dan sinar baharu buat pemain sektor itu.
Beberapa pengusaha pelancongan Tasik Kenyir meluahkan rasa teruja dan lega selepas menerima suntikan tersebut.
Jelas mereka, pemberian vaksin itu dapat meningkatkan keyakinan untuk berdepan dengan pelancong, sekali gus merancakkan kembali ekonomi mereka yang terjejas teruk.
Selain itu, mereka turut memohon kerajaan mempertimbangkan kebenaran merentas daerah bagi individu yang telah lengkap divaksin dalam usaha menghidupkan kembali sektor berkenaan.
“Saya harap, kalau pun tidak boleh rentas negeri, tetapi benarkanlah rentas daerah untuk pelancong tempatan. Sekurang-kurangnya kita boleh bernafas untuk sebulan ini.
"Mungkin dapat tujuh atau lapan trip. Kalau tiga atau empat trip pun sudah cukup untuk sebulan,” kata Timbalan Pengerusi Pelancongan Tasik Kenyir, Kamaruddin Razali.
Sementara itu, pengusaha rumah bot, Abdul Latif Ahmad berharap kerajaan dapat memberikan sedikit kelonggaran kepada mereka yang sudah lama tidak beroperasi.
Jelasnya, pendapatan mereka juga terjejas selepas lama tidak bekerja.
Nada sama disuarakan seorang lagi pengusaha rumah bot, Mohd Rozi Deraman yang berharap Tasik Kenyir dibuka semula selepas mereka selesai menerima dua dos vaksin.
“Sekarang ini sudah lama Tasik Kenyir ditutup, jadi sunyi sepi, saya harap selepas dos kedua ini boleh dibuka semula, harap begitulah,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata, lebih 5,000 pemain industri pelancongan di pulau-pulau utama di Terengganu akan selesai menerima suntikan vaksin COVID-19 menjelang Ogos.
Sasaran itu dijangka dicapai susulan program pemberian vaksin secara outreach yang dijalankan sebagai persediaan menyambut kehadiran pelancong apabila sektor itu dibenarkan beroperasi kelak.
Menurut Ariffin, program itu telah diadakan di Pulau Kapas, Marang dan diteruskan di Tasik Kenyir serta akan disusuli di Pulau Redang di Kuala Nerus, Pulau Perhentian di Besut dan Pulau Tenggol di Dungun.
#COVID-19
#vaksin
#ekonomi
#pelancongan
#pelancong
#bot
#rentas negeri
#rentas daerah
#suntikan
#dos kedua
#terengganu
#Ariffin Deraman
#rumah bot
#Tasik Kenyir