COVID-19: Sultan Selangor zahir kekecewaan terhadap golongan antivaksin
Nursyazwani Saiful Sham
Jun 8, 2021 12:08 MYT
Jun 8, 2021 12:08 MYT
KUALA LUMPUR : Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kekecewaan dan rasa tidak berkenan dengan kewujudan golongan antivaksin di negeri itu.
Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Sultan Sharafuddin berharap rakyat tidak mudah terpengaruh dengan pemahaman terpesong oleh golongan tersebut.
Jelasnya, baginda percaya vaksin mampu menyelamatkan nyawa individu dan sesebuah komuniti, khususnya daripada wabak bahaya seperti COVID-19.
"Baginda bimbang jika masih ada individu atau kumpulan yang berdegil tidak menerima suntikan vaksin COVID-19, sasaran untuk mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini tidak akan tercapai.
"Ia sekali gus meletakkan negara ini dalam krisis wabak yang lebih meruncing dan berbahaya," katanya.
Menurutnya, Sultan Sharafuddin turut berdukacita melihat kepada angka-angka harian kes positif baharu di negeri Selangor yang sentiasa menunjukkan peningkatan.
"Jumlah kumulatif kes positif sehingga 7 Jun (semalam) mencecah 203,520. Begitu juga jumlah kematian yang amat membimbangkan (961 kematian sehingga 7 Jun)," ujarnya.
Justeru, baginda berharap agar Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) mempercepat dan menambah bilangan dos vaksin untuk rakyat negeri Selangor.
Pada masa sama, baginda mahu supaya bilangan pusat pemberian vaksin (PPV) di Selangor ditambah, khususnya di luar bandar.
Baginda turut merayu agar rakyat terus patuh kepada prosedur operasi standard dan arahan di bawah perintah kawalan pergerakan termasuk dengan duduk di rumah, memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan kebersihan diri.
Baginda juga menasihatkan rakyat yang telah menerima suntikan vaksin COVID-19 supaya kekal dalam keadaan waspada dan berhati-hati.
Di samping itu, Sultan Sharafuddin turut mengucapkan terima kasih dan menyampaikan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan di hospital kerajaan dan swasta.
Baginda berharap seluruh rakyat dapat menghargai pengorbanan mereka dan memberi kerjasama penuh dalam usaha mengawal dan menghapuskan pandemik COVID-19 di negara ini.
#Sultan Sharafuddin Idris Shah
#COVID-19
#kes positif
#PKP
#jumlah kematian
#Keluaran Dalam Negara Kasar
#PPV
#imuniti kelompok
#KDNK
#pelitup muka
#vaksin
#suntikan
#Pusat Pemberian Vaksin
#Sultan Selangor
#pemahaman terpesong
#terpengaruh
#antivaksin
#Selangor